Kerajaan PAS Kelantan Dibidas Diskriminasi Peneroka Felcra

Diterbitkan: Isnin, 8 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BARU: Sikap diskriminasi kerajaan PAS Kelantan dalam memberi kelulusan tanah di Panggung Lalat, Gua Musang, telah mendatangkan kesan yang buruk kepada peneroka Felcra di kawasan itu, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan diberitahu hari ini.

Datuk Nozula Mat Diah (BN-Paloh) berkata, beliau kesal sikap kerajaan negeri yang lambat menyelesaikan isu pemilikan kepada peneroka Felcra di kawasan itu sehingga tanah berkenaan dirampas oleh kerajaan negeri untuk dimajukan bagi projek Ladang Rakyat.

"Peneroka Felcra di Panggung Lalat telah memohon kepada Pejabat Tanah sejak 1989 namun sehingga kini Pejabat Tanah tidak memberikan sebarang penyelesaian dan tanah pula dirampas atas hasil usaha peneroka yang menanam getah di sana.

"Secara umumnya, Felcra membantu bangunkan kawasan pertanian, melalui persetujuan kerajaan negeri, dengan mencari rakyat Kelantan yang miskin dijadikan peneroka. Peneroka usahakan tanah serta mengisi borang permohonan dan membayar deposit," katanya ketika membahaskan titah Sultan Muhamed Kelima.

Disebabkan faktor terlalu lama, Nozula mempersoalkan kenapa jabatan tanah yang di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, lambat meluluskan tanah peneroka berkenaan yang diusahakan oleh mereka sejak 21 tahun lalu.

Berikutan dakwaan Nozula itu, sidang dewan menjadi hangat apabila Wan Yusoff Wan Mustafa (PAS-Gual Ipoh) mencelah bahawa tanah yang mereka duduki itu adalah tanah "haram" kerana ianya milik kerajaan negeri dan bukannya Felcra.

Wan Yusoff menjelaskan terdapat peserta Felcra di Tanah Merah yang tidak dibayar hasil tanaman mereka oleh agensi itu.

Nozula berkata, Wan Yusoff memberi tafsiran yang silap kerana bahawa tanah yang diusahakan peneroka itu adalah haram kerana peserta Felcra Panggung Lalat telah membayar wang deposit permohonan untuk kelulusan tanah namun tiada penyelesaian diberi oleh Pejabat Tanah Gua Musang.

"Itu kenyataan bingung. Orang yang bertanyakan soalan itu tidak bingung tetapi kenyataan yang dibuatnya itu bingung," katanya.

Ini menyebabkan Wan Yusoff meminta Speaker Datuk Mohd Nasuruddin Daud menggesa Nozula supaya menarik balik kenyataannya itu.

Bagaimanapun Nozula meneruskan bahasnya bahawa Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah berkata kepada umum bahawa jika tanah itu dicangkul dengan sekali cangkul, maka ianya menjadi hak milik si pencangkul itu.

Justeru katanya, tiada asas bagi sesiapa menuduh peneroka Felcra Panggung Lalat mengusahakan tanaman mereka di tanah secara haram kerana mereka mengusahakannya sendiri sekaligus tanah itu menjadi milik mereka. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan