Sultan Kelantan Mahu Aktiviti Tanah Tinggi Lojing Ikut Garis Panduan

Diterbitkan: Ahad, 7 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KOTA BARU: Sultan Kelantan Sultan Muhammad Ke-V mahu kerajaan negeri Kelantan mengawal segala aktiviti pembangunan di Tanah Tinggi Lojing agar selari dengan garis panduan kawasan pembangunan khas supaya kawasan tanah tinggi itu terus terpelihara keasliannya.

Baginda bertitah aktiviti di tanah tinggi itu perlu dipantau bagi mengelakkan kejadian tanah runtuh serta hakisan yang boleh merosakkan ekosistem tanah tinggi itu.

"Kawalan dan pemantauan aktiviti pembangunan di Tanah Tinggi Lojing hendaklah mengikut garis panduan kawasan pembangunan khas yang telah diwujudkan bagi memastikan pembangunan di kawasan itu tidak menyebabkan berlakunya masalah tanah runtuh dan hakisan," titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Pembukaan Rasmi Persidangan Kali Yang Ketiga (Bajet) Bagi Tempoh Penggal Yang Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Yang Ke-12 di Kota Darul Naim di sini, Ahad.

Titahnya lagi dengan penubuhan Jajahan Kecil Lojing baru-baru ini akan dapat memantau dan mengawal segala aktiviti pembangunan di tanah tinggi itu dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar.

Sultan Kelantan itu juga gembira dengan tindakan kerajaan negeri yang memberi kerjasama penuh terhadap kerajaan pusat bagi mendapatkan perolehan tanah untuk pelaksanaan projek-projek pembangunan di negeri itu.

"Walaubagaimanapun beta mendapat maklum bahawa lebih daripada 1,086 hektar tanah yang telah dibuat pengambilan balik melibatkan 118 projek melibatkan 16 kementerian sejak dari Rancangan Malaysia Keenam (RMK-6) hingga RMK-9 masih belum dilaksanakan sebagaimana yang dirancang," titah baginda.

Sehubungan itu baginda mahu semua tanah terbabit diberikan keutamaan khusus dalam pelan pelaburan sektor awam pada RMK-10 ini.

Baginda juga berharap agar kerajaan pusat dapat meneruskan pelaksanaan pembinaan jalan baru dari Kota Baharu ke Kuala Krai dalam RMK-10 kerana jalan raya sedia ada sudah tidak berkeupayaan untuk menampung jumlah trafik yang meningkat.

Baginda turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan pusat dengan cadangan projek pembinaan jalan baru dan menaik taraf jalan Persekutuan yang bermula dari Kuala Krai ke Simpang Pelangai Pahang sejauh 390 kilometer.

Selain itu Sultan Kelantan turut menyarankan kerajaan negeri agar merangka hubungan perdagangan bagi tujuan meluaskan pemasaran produk berjenama Kelantan ke peringkat nasional dan antarabangsa.

"Usaha menarik pelaburan ke negeri ini perlulah digiatkan termasuk menjalin hubungan perdagangan dan kerjasama ekonomi dengan negara serantau termasuk China haruslah dimanfaatkan," titah baginda.

Menyentuh mengenai pelancongan, Sultan Kelantan menyarankan kepada kerajaan negeri dapat mencari produk baru pelancongan bagi menarik seberapa ramai pelancong ke negeri itu seperti pelancongan kesihatan dan pelancongan agama yang berpotensi untuk dimajukan.

Baginda juga gembira dengan keharmonian dan perpaduan antara kaum di negeri itu yang menyifatkan rakyat Kelantan sememangnya mempunyai kesedaran dan semangat perpaduan yang tinggi untuk menjamin keamanan dan kestabilan negeri.

Dalam usaha menangani wabak demam denggi yang agak membimbangkan di Kelantan, baginda menasihati agar seluruh rakyat negeri akur dengan arahan pihak berkuasa dan yang paling penting menjaga kebersihan diri, tempat tinggal dan kawasan persekitaran untuk kesejahteraan bersama.

Persidangan DUN akan bersambung pada Isnin dan berakhir Khamis ini. - BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Jumaat, 17 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Hyper Act - Kasih

Khamis, 16 November 2017 2:00 PM

“Kalaulah Diberi Watak Utama...” - Riz Amin

Khamis, 16 November 2017 9:05 AM

Tak Tipu! Rawang Bypass Memang Gayat

Khamis, 16 November 2017 9:00 AM

Sufi Tak Mampu Tolak Haqiem Rusli

Rabu, 15 November 2017 9:00 AM

Bakat Mafarikha Tersia-sia Enam Tahun

Kolumnis

iklan

Iklan