Perwakilan Gerakan Lahirkan Sokongan Padu Terhadap Presidennya

Diterbitkan: Ahad, 7 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Anggota-anggota perwakilan Gerakan melahirkan sokongan padu kepada Presiden parti Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dan mahukan kelemahan parti tidak terus dibebankan terhadap pemimpin tertinggi parti itu sahaja.

Mereka juga mahukan semua peringkat kepimpinan dan anggota berusaha mengukuhkan lagi Gerakan demi memenangi kembali hati rakyat.

Anggota perwakilan Padang Serai, Kedah Tang Hiang Lye berkata adalah tidak adil jika semua kelemahan ditujukan hanya kepada Koh sedangkan Gerakan mengamalkan prinsip bergerak secara bersatu-padu.

"Ada segelintir pemimpin-pemimpin lama yang memberi tekanan agar presiden meletakkan jawatan atas alasan beliau lemah dalam kepimpinan. Jika presiden lemah, bagaimana dengan timbalan presiden, naib presiden, atau dengan para pemimpin yang lain?

"Adakah ini adil kalau kita kata presiden saja yang lemah? Kalau betul mahu lakukan perubahan, ia harus dilaksanakan dengan telus, bukan cakap mulut sahaja. Semuanya mesti bertindak dan semua mesti bertanggungjawab," katanya ketika membahaskan ucapan Presiden pada Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan ke-39 di Menara PGRM di sini, Ahad.

Tang juga membidas tindakan bekas Penasihat Gerakan Tun Dr Lim Keng Yaik yang dilihat selalu mengeluarkan kenyataan negatif terhadap pemimpin nombor satu parti itu.

"Walaupun anda (Keng Yaik) menyumbang banyak terhadap parti ini, tapi ia tidak bermakna anda boleh memberikan kenyataan yang terlampau kerana komen berkenaan akan mengugat keharmonian Gerakan.

"Oleh itu, sila hentikan memberikan sebarang kenyataan anda (Keng Yaik) kerana ia hanya menyebabkan kewujudan kebencian di kalangan orang ramai terhadap kami," katanya.

Tang berkata Gerakan hanya mempunyai masa depan cerah sekiranya semua anggotanya melaksanakan transformasi bersama dalam parti itu dan ia tidak sepatutnya hanya diletakkan atas bahu presidennya.

"Semua pemimpin pusat sepatutnya menanggung tanggungjawab bersama ketika parti menghadapi masalah dan ia tidak wajar hanya Tsu Koon seorang sahaja disalahkan," katanya.

Wakil dari Kulai, Johor, Cheong Chin Liang berkata Gerakan harus melalui proses transformasi dalam parti itu sendiri bagi memastikan ia lebih kukuh dalam menghadapi persaingan lanskap politik sekarang.

"Pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu, Gerakan memang hadapi tsunami politik, di mana hampir semua kerusi yang kita bertanding kalah semuanya...maka parti kita disifatkan oleh orang luar sebagai lemah tanpa tak diduga.

"Gerakan harus membuat satu transformasi untuk bangkit semula sebagai satu parti komponen yang kukuh dan kuat untuk menghadapi masa hadapan. Sebab itu kalau kita imbas kembali, kita juga kena tanya pada diri kita sendiri, adakah kita semua sedia untuk bantu parti kita bangkit semula sebagai satu parti yang kukuh dan kuat untuk hadapi masa hadapan parti kita?," katanya.

Wakil dari Petaling Jaya Selatan, Selangor, Chia Ting Ting turut berkongsi pandangan yang sama sambil menyeru semua anggota parti menyelami dan memahami pandangan rakyat terhadap Gerakan secara keseluruhan.

Chia, yang juga wakil Beliawanis Gerakan, berkata semua anggota harus faham kepentingan untuk memahami isi hati rakyat dan juga lebih memahami arus persaingan politik negara masa kini yang dilihat kian mencabar.

"Penting bagi kita untuk fahami persaingan politik negara kita dengan keseluruhan, tetapi jangan dilupa apa yang paling mustahak adalah bagaimana rakyat melihat kita sebagai seorang pemimpin," katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau mencadangkan agar sayap Gerakan iaitu Pemuda dan Beliawanis digabungkan dan diperkukuhkan di bawah satu entiti bagi menghadapi cabaran sayap parti pakatan pembangkang yang dilihat lebih agresif dalam soal memenangi hati rakyat.

"Gabungan antara Pemuda dan Beliawanis sangat kritikal untuk mengintegrasikan bakat agar produk Gerakan yang berkualiti dapat dihasilkan dan dapat bersaing di pasaran politik," kata Chia. - BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Kolumnis

iklan

Iklan