Kerajaan Tubuhkan Jawatankuasa Khas Untuk Bantu Pasca Banjir

Diterbitkan: Ahad, 7 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Kerajaan akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mengurus dan membantu mangsa-mangsa banjir memulihkan semula kehidupan mereka selepas banjir, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata jawatankuasa khas itu akan menyalurkan sebarang bentuk bantuan yang boleh diberikan kerajaan dengan cepat untuk memudahkan mangsa banjir meneruskan kehidupan selepas mengalami banjir.

Katanya di Kedah jawatankuasa itu dipengerusikan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Bashah Md Hanipah bersama Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Chor Chee Heung yang turut disertai Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mohd Johari Baharom serta wakil kerajaan pusat dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Pertama sekali saya minta kita kena ada daftar, rekod mangsa banjir ini. Kalau ada 40,000 mangsa, rekodkan keluarga dan semua anggota keluarga terlibat. Hanya ada satu daftar, satu rekod sahaja.

"Rekod mesti dimulakan sekarang... dari setiap kampung yang terlibat hingga siapa yang terlibat, jumlah keluarga dan dari mana mereka datang Tujuannya untuk kita meneliti bentuk-bentuk bantuan yang kita boleh sampaikan untuk membolehkan mereka membina semula kehidupan mereka," katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di Stadium Sultan Abdul Halim di sini Ahad.

Beliau berkata banyak perkara perlu direkodkan seperti kawasan rumah tenggelam, rumah rosak, kebun musnah, padi hanyut, haiwan mati dan itu semua penting untuk direkodkan.

"Daftar itu akan disediakan oleh jawatankuasa berkenaan untuk disemak dan kemudian dibawa kepada pihak Majlis Keselamatan Negara. Saya kemudian akan bawa kepada Perdana Menteri.

"Apa-apa saja bantuan yang boleh disampaikan. Saya tak katakan semua berhak dapat...tetapi mana-mana yang layak mereka akan dibantu. Contohnya, masalah tanaman, apa yang menjana pendapatan dan hal-hal lain kebajikan," katanya.

Beliau berkata jawatankuasa itu juga akan menentukan pihak yang akan menerima pendaftaran mangsa banjir dan pihak yang akan mengesahkan butiran setiap laporan.

Muhyiddin berkata selain bantuan kerajaan, beliau juga akan meminta bantuan badan-badan sukarela untuk turun ke kampung-kampung bagi membantu kerja pembersihan kawasan yang terlibat dengan banjir.

"Bila mangsa balik rumah, lumpur ada dalam rumah. Khidmat badan sukarela boleh bantu penghuni-penghuni bersihkan rumah...buang segala lumpur dan sampah-sampah yang masuk sekolah, surau, kuil ke, tokong, tak kira siapa," katanya.

Mengenai kemampuan agensi-agensi kerajaan dalam membantu mangsa banjir, Timbalan Perdana Menteri berkata beliau berpuashati dengan tugas yang dilakukan walaupun pada peringkat awal berhadapan dengan masalah untuk menguruskan hal-hal berkaitan banjir dan kini dapat diuruskan dengan sempurna.

"Perkara logistik dan aset-aset kerajaan seperti lori, kenderaan berat dan bot diatur dengan baik, begitu juga dengan barangan makanan, minuman dan keperluan untuk mangsa-mangsa di pusat pemindahan diurus dengan baik.

"Saya tanya mangsa adakah mereka dapat apa yang diperlukan, mereka cakap jenuh (lebih), macam-macam disediakan. Cuma saya minta lebih banyak bekalan air bersih disediakan. Bekalan air diterima termasuk dari Perak dan badan sukarela," katanya.

Muhyiddin berkata selepas banjir pulih nanti, kemudahan aset dan logistik akan dikekalkan di negeri ini kerana menurut Jabatan Meteorologi, hujan lebat seperti yang berlaku sebelum ini boleh berulang.

"Mungkin dalam masa beberapa minggu akan datang. Perlu sentiasa berjaga-jaga. Walaupun banjir dah kurang tak boleh jangka apa yang nak jadi...kalau hujan tiga hari empat hari air boleh naik balik. Ini langkah-langkah untuk tangani masalah banjir yang kita akan lakukan," katanya.

Mengenai dakwaan banyak pihak bahawa banjir kali disebabkan oleh pembinaan projek landasan kereta api berkembar, Muhyiddin berkata perkara itu tidak benar kerana banjir tersebut melibatkan banyak kawasan dan bukan di kawasan landasan kereta api berkembar.

"Kalau satu kawasan yang ada projek landasan banjir bolehlah cakap. Ini berlaku di semua tempat. Apa yang berlaku sebenarnya hujan turun lebih banyak daripada biasa," katanya.

Mengenai sama ada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan tetap bermula 23 November ini, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata pihaknya akan meneliti keadaan kerana masih ada dua minggu sebelum peperiksaan. Terdahulu, beliau yang tiba di Stadium Sultan Halim kira-kira pukul 1.20 tengah hari diberikan taklimat berkenaan banjir di Kedah oleh MKN dan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan.

Beliau kemudiannya melawat beberapa kawasan yang dilanda banjir di sekitar daerah Kota Setar. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan