Gerakan Lulus 18 Deklarasi

Diterbitkan: Ahad, 7 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Persidangan Perwakilan Nasional ke-39 Gerakan, Sabtu, meluluskan 18 deklarasi yang membabitkan hal ehwal parti, politik, ekonomi, sosial dan masyarakat.

Deklarasi itu dibentangkan speaker persidangan Tan Sri Dr Chin Fook Weng sebelum diluluskan sebulat suara oleh 1,360 perwakilan di Menara PGRM di sini.

Antara deklarasi yang diluluskan oleh persidangan itu ialah menyokong bahawa Perlembagaan Persekutuan harus diinterpretasi dan difahami secara inklusif dan komprehensif selain dihormati, didukung dan dipertahankan oleh setiap warganegara Malaysia.

Perwakilan turut menyokong penuh gagasan 1Malaysia yang mesti disebar luas, diinstitusikan, direalisasikan dan digunakan sebagai panduan terpenting dalam dasar dan pelbagai program kerajaan bagi mengukuhkan perpaduan negara dan integrasi nasional.

Selain itu, perwakilan juga berpendapat bahawa Rukun Negara haruslah diperkuat, diperakui dan diberi penekanan semula.

Bagi deklarasi berhubung politik, perwakilan menolak segala bentuk politik ekstremis dan berpolitik melebih-lebih tanpa batas yang bukan acuan Malaysia dan menyokong politik bersifat kesederhanaan, kerjasama dan konsensus yang telah diperjuangkan oleh pengasas-pengasas negara terdahulu.

Ia turut menggesa Barisan Nasional (BN) mencipta semula iltizamnya supaya menjadi sebuah perikatan yang lebih inklusif dan memperkasakan semangat kesaksamaan dan kerjasama yang termaktub sejak pembentukannya pada 1974.

Perwakilan juga berazam memperbaharui dan menyegarkan semula parti itu bagi memastikan ia tetap kekal relevan dan berkeupayaan sebagai sebuah kuasa politik, serta mengemukakan pendirian dasar dan jalan penyelesaian pragmatik yang bukan berbentuk perkauman tetapi bersifat progresif supaya dapat menjadi suara dan pilihan bagi seluruh warganegara Malaysia.

Mengenai ekonomi, perwakilan Gerakan berpendapat konsep keadilan sosial yang memastikan tidak ada warganegara Malaysia dipinggirkan, adalah satu matlamat penting bagi kerajaan dalam menggubal dan melaksanakan dasar-dasar yang akan memastikan pertumbuhan ekonomi yang inklusif.

Ia turut menggesa penyemakan semula Akta Keselamatan Dalam Negeri dan undang-undang lain yang menghadkan kebebasan demokratik sejajar dengan nilai sejagat hak asasi manusia dan seiring dengan kebebasan asas yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan, di samping memastikan pemeliharaan keamanan, keharmonian dan ketenteraman awam. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan