Sembilan Tahun Tempoh Menunggu Untuk Haji Kali Kedua - Mashitah

Diterbitkan: Sabtu, 6 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MARANG: Jemaah haji yang mendaftar untuk kali kedua selepas baru pulang daripada menunaikan rukun Islam yang kelima itu kini perlu menunggu sembilan tahun lagi sebelum nama mereka tersenarai semula.

Ini kerana Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) akan menyaring jemaah yang telah mengerjakan haji dalam tempoh sembilan tahun bagi memberi peluang kepada jemaah baru.

"Sistem ini dibuat bagi membolehkan bakal Haji yang belum menunaikan Haji mendapat kuota untuk menunaikan rukun Islam kelima itu untuk kali pertama," kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mashitah Ibrahim.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program Juara Rakyat peringkat Parlimen Marang yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita negeri Yahya Khatib Mohamad di Institut Kemahiran Belia Belia Negara (IKBN) Wakaf Tapai di sini, Sabtu.

Mashitah berkata Tabung Haji juga akan memaklumkan jumlah terkini rakyat Malaysia kepada Arab Saudi agar kuota rakyat negara ini ditambah pada masa depan.

"Ini kerana setiap negara hanya mendapat satu peratus daripada jumlah penduduk negara berkenaan untuk menunaikan Haji," katanya.

Mengenai ura-ura kenaikan tambang untuk menunaikan ibadat itu tahun depan, beliau berkata walaupun berlaku kenaikan, ia tidak membebankan jemaah. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan