Perdana Menteri Arah Semua Agensi Kerajaan Hulur Bantuan Kepada Mangsa Banjir

Diterbitkan: Sabtu, 6 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JITRA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan semua agensi kerajaan persekutuan supaya turun segera memberi bantuan kepada mangsa banjir di Kedah dan Perlis.

Beliau berkata bantuan yang diberi tidak boleh bersifat diskriminasi dan mengira fahaman politik, sebaliknya perlu sama rata.

"Saya faham betapa seriusnya keadaan banjir di Kedah dan Perlis dan saya akan buat apa sahaja untuk membantu mangsa banjir," kata Najib semasa dihubungi Setiausaha Sulitnya Datuk Shahlan Ismail yang melawat ke Kampung Pulau Timbul dekat sini, Sabtu.

Dalam perbualan telefon itu, kata Shahlan, Najib turut bertanyakan tentang situasi banjir yang melanda negeri itu dan berharap agar rakyat bersabar.

Beliau berkata Perdana Menteri, yang sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur, mengucapkan terima kasih kepada rakyat yang sentiasa mendoakan kesejahteraan kesihatannya.

Sementara itu, Shahlan berkata Pejabat Perdana Menteri merancang untuk memberi keperluan selepas banjir, misalnya dapur gas, kepada mangsa yang terbabit.

"Kita akan minta bantuan daripada syarikat-syarikat korporat seperti Proton Holdings Berhad, Bank Muamalat, Bank Rakyat dan Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (Bakti) bagi memberi bantuan dapur gas tersebut," katanya.

Beliau berkata Badan Bukan Kerajaan (NGO) diminta turun untuk sama membantu mangsa banjir selepas banjir reda.

"Kita turut sediakan 10,000 unit dapur gas kepada mangsa banjir di Kedah dan Perlis. Saya sedang berurusan dengan agensi-agensi untuk menyalurkan bantuan itu," katanya.

Dalam pada itu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mohd Johari Baharom yang turut berada di kampung itu bagi menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir, berkata semua mangsa banjir mendapat bantuan sewajarnya tanpa mengira fahaman politik.

"Dalam situasi sekarang, soal politik perlu diketepikan," katanya.

Beliau berkata Lembaga Kemajuan Pertanian Muda dan Majlis Keselamatan Negara akan menilai kerosakan pertanian dan memberi bantuan seperti biasa selepas banjir pulih.

Seorang penduduk kampung itu Aishah Hassan, 59, berkata sejak berlakunya banjir di daerah itu, kerajaan negeri hanya sekali sahaja menghulurkan bantuan tetapi bantuan yang diberi itu terlalu kecil dan tidak cukup untuk menampung jumlah penduduk di kampung itu iaitu kira-kira 20 keluarga.

"Kami hanya mendapat bantuan makanan setiap hari daripada Kerajaan Persekutuan. Jika hendak mengharapkan kerajaan negeri, mungkin kami akan kebuluran," katanya yang menyifatkan banjir kali ini adalah yang terburuk pernah berlaku sejak 50 tahun lepas.

Saad Talib, 49, yang juga merupakan penduduk di situ berkata 99 peratus bantuan yang mereka terima adalah daripada kerajaan persekutuan.

"Kami terputus hubungan dengan dunia luar kerana laluan ke kampung kami ditenggelami air. Saya difahamkan kerajaan negeri hanya memberi bantuan kepada penduduk di kampung sebelah (Kampung Raya) yang penduduknya majoriti penyokong mereka.

"Hanya sekali sahaja wakil daripada kerajaan negeri memberi bantuan kepada kami tetapi kami tidak kenal siapa orang itu kerana dia bukannya Exco (kerajaan negeri)," katanya dengan kesal. - BERNAMA

iklan

Video

Isnin, 18 Disember 2017 2:45 PM

Kecoh Naim Daniel 'Berduet' Dengan Hantu

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Kolumnis

iklan

Iklan