Koh Ulangi Tidak Akan Pegang Jawatan Lebih Dua Penggal

Diterbitkan: Sabtu, 6 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tan Sri Dr Koh Tsu Koon pada Sabtu tetap mengulangi pendiriannya untuk tidak memegang jawatan presiden Gerakan lebih daripada dua penggal, malah akan menimbang untuk melepaskan jawatan itu lebih awal sekiranya ada pemimpin yang cukup berkaliber menggantikannya.

"Saya pernah nyatakan pada 2008 bahawa saya akan hanya memegang jawatan ini selama dua penggal. Saya akan berpegang pada kata-kata ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat tahunan Majlis Anggota Seumur Hidup parti itu di Menara PGRM di sini.

Sebanyak 140 atau 60 peratus daripada 233 anggota seumur hidup Gerakan menghadiri mesyuarat itu, termasuk bekas presiden Gerakan Tun Dr Lim Keng Yaik, yang dilantik sebagai pengerusi baru majlis berkenaan.

Apabila diajukan soalan, Koh tidak menyatakan individu yang beliau fikirkan berkemampuan untuk menggantikannya.

Bagaimanapun, Koh, yang juga Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, berkata Gerakan sentiasa berusaha untuk melahirkan pemimpin baru bagi semua peringkat.

Sejak akhir-akhir ini, Koh, yang mengambil alih tampuk kepimpinan parti dari Dr Lim pada 2008, sering dikritik oleh anggota parti, termasuk mereka yang menganggapnya sebagai pemimpin yang lemah.

Tamparan paling hebat diberi oleh Dr Lim apabila beliau mengundur diri sebagai penasihat Gerakan bulan lepas dengan alasan tidak berpuas hati dengan cara Koh menangani hal ehwal parti itu.

Ditanya tentang hubungan beliau dengan Dr Lim, Koh berkata hubungan mereka adalah baik dan malah duduk semeja untuk menikmati sarapan pagi, Sabtu.

Perbezaan pendapat antara mereka adalah perkara biasa, katanya.

Mengenai keputusan pilihan raya kecil Galas dan Batu Sapi yang memihak kepada Barisan Nasional (BN), beliau berkata parti gabungan itu perlu bersikap merendah diri dan tidak terlalu megah dengan pencapaian itu.

Katanya BN perlu bekerja lebih keras untuk mendapatkan keyakinan rakyat.

Beliau berkata BN perlu mengambil iktibar daripada sikap terlalu yakin oleh calon Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee, yang akhirnya hanya mendapat 2,031 undi, iaitu jumlah undi paling rendah dalam pertandingan tiga penjuru bagi kerusi Parlimen Batu Sapi.

Katanya kemenangan BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Galas dan Parlimen Batu Sapi juga menunjukkan peningkatan sokongan rakyat terhadap parti gabungan itu serta konsep 1Malaysia yang diperjuangkaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. - BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Kolumnis

iklan

Iklan