Institut Akauntan Malaysia Komited Imbangi Pelepasan Karbon

Diterbitkan: Sabtu, 6 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Institut Akauntan Malaysia (MIA) akan menyediakan beberapa siri inisiatif bagi mengimbangi pelepasan karbon daripada acara yang ia anjurkan bersama, Kongres Akauntan Sedunia ke-18 (WCOA 2010).

Semasa WCOA 2010, yang akan diadakan pada 8-11 Nov di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), lebih daripada 6,000 delegasi yang dijangka menghadirinya akan digalakkan untuk mengurangkan pelepasan karbon di mana mereka akan disediakan dengan botol air boleh digunakan semula bagi menggantikan botol air plastik dan "thumb-drives" untuk mengurangkan jejak karbon.

Presiden MIA Abdul Rahim Abdul Hamid berkata organisasi tersebut komited untuk melaksanakan langkah-langkah seumpama itu bagi memastikan kelestarian jangka panjang alam sekitar.

"Ia juga untuk menyokong inisiatif MIA dan juga Persekutuan Akauntan Antarabangsa (IFAC) untuk menyumbang semula kepada masyarakat," katanya dalam satu kenyataan, Sabtu.

"Sebagai satu kerjaya, kami menyedari bukan hanya kepentingan pelaporan mengenainya tetapi juga menyertai dalam inisiatif untuk mengimbangi pelepasan karbon," katanya.

Pagi ini, Abdul Rahim menghadiri upacara menyiram pokok di pintu masuk utama KLCC sempena menandakan penganjuran WCOA 2010.

Turut hadir ialah Naib Presiden MIA Christina Foo, Ketua Pegawai Eksekutif MIA, Rosli Abdullah, Presiden IFAC Goran Tidstrom, bekas presiden IFAC Robert Bunting dan Ketua Pegawai Eksekutif IFAC Ian Ball.

Abdul Rahim berkata inisiatif mesra alam lain oleh MIA ialah menggalakkan delegasi asingnya sejurus ketibaan mereka di sini menggunakan perkhidmatan Express Rail Link yang pantas dan mudah dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL di Sepang ke pusat bandar. Ball berkata IFAC dan MIA juga akan menyertai program penanaman pokok di kawasan KLCC pada Selasa.

WCOA tahun ini yang bertemakan "Accountants: Sustaining Value Creation," dianjurkan bersama oleh MIA dan IFAC.

Lebih 150 peserta dari 40 negara akan berkongsi pengetahuan dan pandangan mereka di WCOA 2010 mengenai topik-topik seperti kewangan Islam, perakaunan bagi kemampanan, pelaporan perubahan iklim, perakaunan forensik dalam persekitaran digital, keperluan perusahaan kecil dan sederhana dan tadbir urus insan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan