Mustaffa Pula Desak Pemilihan PKR Ditangguh, Gantung JPP

Diterbitkan: Jumaat, 5 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Calon Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mustaffa Kamil Ayub pada Khamis mendesak supaya tugas Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) digantung sementara proses pemilihan parti itu ditangguhkan.

Mustaffa yang juga Naib Presiden PKR, proses tersebut perlu dilaksanakan bagi memastikan kelangsungan perjuangan parti yang berlandaskan prinsip keadilan untuk semua.

"Kami mohon supaya supaya status JPP digantung dan proses pemilihan ditanggunhkan sehingga kita yakin sepenuhnya badan atau jawatankuasa pemilihan ini mengambil tindakan yang proaktif membaiki kelompangan yang ada," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis.

Sebelum ini, ejen seorang lagi calon jawatan Timbalan Presiden PKR, Datuk Zaid Ibrahim, Rashid Azad Khan mendesak supaya proses pemilihan parti dihentikan kerana mendakwa berlakunya penyelewengan yang serius di empat cabang yang mengadakan pengundian memilih pucuk pimpinan parti itu pada 29 Oktober lalu.

Sambil menyifatkan proses pemilihan parti amat mendukacitakan, Mustaffa berkata tindakan ini perlu, supaya ianya tidak akan menimbulkan pelbagai masalah dalam proses pemilihan parti 2010 seterusnya.

"Kita juga pernah menyuarakan bantahan sebelum ini, dalam peringkat proses pencalonan dan pemilihan cabang terhadap JPP," katanya.

Tegasnya, bantahan itu dibuat disebabkan banyak berlakunya ketidakseragaman dalam melaksanakan syarat dan peraturan pertandingan yang sepertimana yang ditetapkan oleh JPP sendiri.

"Secara jelasnya, walaupun terdapat banyak bantahan yang telah dikemukakan, sehingga kini tidak ada apa-apa tindakan dan keputusan yang diambil oleh jawatankuasa tersebut, walaupun terdapat syarat dan peraturan tidak yang secara jelas tidak dipatuhi,” katanya.

Mustaffa berkata, sekiranya masalah tersebut tidak dipantau ia akan berlarutan hingga ke proses pemilihan Majlis Pimpinan Pusat yang akan berakhir pada 21 November ini.

"Ketelusan terhadap JPP ini terus dipertikaikan oleh pelbagai pihak, dengan beberapa insiden, salah laku yang telah berlaku secara jelasnya, di mana terdapat kaedah pengendalian tidak bersikap profesional dan bersifat condong sebelah pihak.

"Ini termasuk, soal penjumlahan undi yang diumumkan tidak konsisten, terutamanya keputusan yang melibatkan kedudukan jawatan timbalan presiden," ujarnya.

Beliau berkata, pihaknya juga telah menyiapkan memorandum cadangan bagi penambahbaikan JPP untuk diserahkan kepada presiden PKR dan pengerusi JPP.

"Kami juga menegaskan, bentuk tindakan yang kami lakukan ini adalah kerana kami meletakkan kepentingan parti itu di atas, malah juga untuk menjaga keharmonian dan kepentingan parti ini.

"Hasrat baik pendekatan parti untuk memberi kuasa memilih kepada kepada setiap anggota pastinya tergugat dan terhalang, sekiranya badan atau jawatankuasa yang dilantik tidak dapat berperanan dengan sebaiknya,” katanya.

Tegasnya, beliau tidak mahu ahli parti ditipu dan dizalimi bagi memelihara kepentingan pihak tertentu kerana parti itu memperjuangkan keadilan untuk semua pihak.

Oleh itu, Mustaffa mendesak supaya suara akar umbi dikembalikan dalam PKR.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan