Lebih 5,000 Hadiri Rumah Terbuka Deepavali MIC

Diterbitkan: Jumaat, 5 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kira-kira 5,000 tetamu daripada pelbagai kaum dan latar belakang hadir bagi memeriahkan majlis rumah terbuka Deepavali anjuran MIC di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini Jumaat.

Dengan pelbagai juadah popular kaum India serta kaum lain yang dihidangkan, majlis rumah terbuka MIC tidak putus-putus menerima kehadiran tetamu, baik di kalangan rakyat jelata mahupun orang kenamaan.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meluangkan masa kira-kira 30 minit untuk meraikan Deepavali bersama rakan-rakannya termasuk presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu dan Naib Presiden Datuk Dr S.Subramaniam.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Koh Tsu Koon dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Dalam kesibukan melayan tetamu yang hadir, majlis itu menjadi lebih bermakna buat Samy Vellu, 74, apabila menerima kunjungan rakan baiknya, Sharifah Abu Bakar, 77, yang hadir semata-mata untuk menemui beliau sempena sambutan Hari Deepavali kali ini. Samy Vellu yang bakal melepaskan jawatan Presiden MIC pada Januari depan, mengakui gembira dengan pertemuan semula itu selepas kira-kira 54 tahun terputus hubungan.

"Saya memang sangat gembira jumpa dia (Sharifah)...saya sayang dia sebab dia memang teman sepermainan saya masa kecil, bapak saya dan bapa dia juga sangat akrab" katanya.

Mesra dengan panggilan Sherry di kalangan rakan-rakan, Sharifah yang menetap di Kajang, hadir bersama keluarganya.

Bercerita lanjut, Sharifah berkata beliau dan Samy Vellu merupakan rakan sekelas di Sekolah Rendah Batu Arang, Selangor sekitar tahun 1930-an.

"Kami sekelas dari darjah empat hingga darjah enam...kami juga duduk berjiran dan selalu bertukar-tukar juadah, terutamanya kari. Kalau di rumah (Datuk Seri) Samy ada kari, mesti di rumah saya juga ada kari," katanya yang turut menunjukkan gambar mereka ketika masih di bangku sekolah.

Sharifah berkata mereka terputus hubungan apabila keluarga masing-masing berpindah, namun bertemu semula kira-kira dua tahun lepas, apabila Samy Vellu menerima jemputan beliau sempena ulang tahun perkahwinannya.

Sementara itu, kira-kira 1,000 tetamu hadir pada majlis rumah terbuka Deepavali anjuran parti Gerakan di Menara PGRM di sini yang bermula dari 11 pagi hingga 2 petang.

Muhyiddin turut meluangkan masa kira-kira 45 minit untuk menjamu selera serta beramah mesra dengan tetamu yang hadir pada majlis itu.

Turut hadir Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor serta Naib Presiden Gerakan Datuk Tan Lian Hoe dan Timbalan Menteri Luar Senator A. Kohilan Pillay.

Tetamu turut dihiburkan dengan persembahan tarian dan alat muzik masyarakat India ketika menikmati pelbagai juadah yang disediakan termasuk nasi beriani, putu mayam serta muruku.

Sementara itu, kira-kira 1,200 orang kelainan upaya (OKU) dari 28 persatuan dan rumah jagaan meraikan Deepavali bersama perintis industri filem Melayu Datuk L.Krishnan pada sambutan kali ke-31 anjuran Datuk Krishnan Foundation di Dewan St.John's Institution di sini.

Antara rumah kebajikan dan persatuan yang hadir ialah Persatuan Kanak-Kanak Cacat Wisma Harapan, Persatuan Orang-Orang Buta Malaysia, Pusat Khidmat Komuniti untuk Orang-Orang Pekak serta Pertubuhan Ibu Tunggal Wilayah Persekutuan dan Selangor.

Krishnan, 88, yang juga pengusaha filem Melayu legenda berkata sambutan itu diadakan setiap tahun sejak 1979 bagi memberi peluang kepada mereka yang kurang bernasib baik meraikannya, dan ia akan diteruskan pada masa akan datang.

Di KUALA KRAI, Deepavali disambut meriah namun sederhana oleh penganut Hindu.

Pengerusi MIC Kelantan M. Kuppusamy berkata sejak semalam, kira-kira 500 hamper diagihkan kepada golongan miskin di beberapa tempat di Kuala Krai dan Tanah Merah.

Di ALOR SETAR, perayaan Deepavali di lima daerah iaitu Kubang Pasu, Padang Terap, Kota Setar, Pendang dan Pokok Sena disambut dalam keadaan suram berikutan banjir teruk yang melanda kawasan berkenaan.

Beberapa kuil yang sepatutnya meriah dikunjungi, digenangi air menyebabkan Deepavali tahun ini tidak disambut seperti biasa.

Bagaimanapun, bagi penganut agama Hindu terbabit, sambutan perayaan itu tetap dirayakan, cuma tahun ini, ia diadakan secara sederhana di rumah keluarga terdekat, atau di rumah saudara yang berada di luar Kedah.

Sambutan Deepavali di Kulim/Bandar Baharu dan Sungai Petani agak meriah berikutan kawasan itu tidak dilanda banjir.

Di IPOH, perayaan Deepavali disambut secara sederhana namun meriah dengan kunjungan pelbagai lapisan masyarakat ke rumah saudara mara serta sahabat handai.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan isteri Datin Seri Sharipah Zulkifli turut menghadiri rumah terbuka pengerusi MIC Perak Datuk S.Veerasingam dan Ketua MIC Bahagian Ipoh Barat Datuk G. Rajoo.

Di JOHOR BAHARU, seramai 5,000 penganut Hindu mengunjungi Kuil Arulmigu Sri Raja Kaliamman atau Kuil Kaca, untuk bersembahyang sempena perayaan Deepavali.

Presiden kuil itu S. Sinnathamby berkata kuil kaca berwarna-warni yang terletak di Jalan Tebrau di sini, bukan hanya dikunjungi masyarakat tempatan malah oleh penganut Hindu dari Singapura.

"Sempena perayaan pada tahun ini, kita ada menyampaikan sedikit ole-ole dan wang tunai kepada penganut yang datang," katanya.

Sementara itu, semangat 1Malaysia jelas terpancar pada majlis rumah terbuka Anggota Dewan Undangan Negeri Permas M.Munusamy yang diadakan di Dewan Serbaguna Taman Rinting, Pasir Gudang apabila ia dihadiri lebih 1,000 penduduk pelbagai kaum dan agama.

Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S.Subramaniam dijadual mengadakan rumah terbuka Deepavali di Dewan SMK Seri Kenangan, Batu Anam, Segamat Ahad ini, menjemput penduduk setempat menghadiri majlis yang akan bermula 12 tengah hari dan tamat 3 petang itu. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 24 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Harry - Abang Lori Tenonenonet

Khamis, 23 November 2017 11:18 PM

Fazura Sah Tunangan Fattah Amin

Khamis, 23 November 2017 7:36 PM

Alahai KTM! Bila Isu Tren Tergelincir Nak Selesai?

Khamis, 23 November 2017 4:00 PM

Tatang Bagai Puteri, Tapi Ini Jadinya - Harris Baba

Khamis, 23 November 2017 3:45 PM

Tak Perlu 'FB Live' Anak Berjaya UPSR - Prof Muhaya

Khamis, 23 November 2017 2:32 PM

Bayar 'Ciput', Lepak Sampai Puas

Khamis, 23 November 2017 9:00 AM

Lagu Tak Layak, Ayda Jebat Sekadar Nak Tahu Punca

Rabu, 22 November 2017 7:00 PM

"Saya Sedih, Kecewa Dengan Nabil" - Chef Wan

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Kolumnis

iklan

Iklan