Kemenangan Besar BN Bukti Pengiktirafan Kempimpinan Najib

Diterbitkan: Jumaat, 5 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SANDAKAN: Kemenangan besar calon Barisan Nasional (BN)pada pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, di Kelantan merupakan pengiktirafan rakyat terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kemenangan itu juga bukan sahaja amat istimewa kepada Najib tetapi juga pengiktirafan kepada kepimpinan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.

"Inilah satu keputusan yang amat istimewa kepada Perdana Menteri kita. Kita ingin mengucapkan setinggi tahniah kepada Perdana Menteri. Pastinya ini adalah kemenangan yang cukup bermakna di atas kepimpinan beliau yang saya kira sudah diterima (rakyat).

"Gagasan 1Malaysia diterima. Segala usaha-usaha pembangunan yang telah diperkenalkan seperti Program Transformasi Kerajaan (GTP), Program Transformasi Ekonomi (ETP), Model Baru Ekonomi, Rancangan Malaysia Kesepuluh yang telah diambil oleh Najib.

"Saya anggap ini satu pengiktirafan terhadap segala yang telah dilakukan oleh Perdana Menteri kita," katanya kepada pemberita selepas keputusan pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi diumumkan di Dewan Masyarakat Sandakan di sini, malam tadi.

Calon BN di Batu Sapi Datin Linda Tsen Thau Lin menang dengan majoriti 6,359 undi setelah meraih 9,124 undi mengalahkan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ansari Abdullah yang memperoleh 2,919 undi sementara Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee mendapat 1,750 undi.

Di Galas, calon BN Abdul Aziz Yusoff menang dengan majoriti 1,190 undi setelah mendapat 5,324 undi manakala calon PAS Dr Zulkefli Mohamad memperoleh 4,134 undi.

Menurut Muhyiddin, kemenangan BN di Batu Sapi dan Galas juga menunjukkan trend perubahan ketara sokongan rakyat kepada BN apabila keputusan-keputusan peti undi menunjukkan bahawa BN bukan sahaja mendapat sokongan kuat daripada bumiputera Islam dan bukan Islam tetapi juga sokongan ketara daripada pengundi Cina dan lain-lain.

"Seperkara yang jelas di sini ialah rakyat di Batu Sapi saya lihat bukan sahaja menyokong BN tetapi masih mahukan BN berperanan lebih ke depan lagi untuk membela nasib mereka.

"Saya telah bincang dengan Ketua Menteri Menteri Sabah bahawa apa sahaja janji telah kita buat akan kita laksanakan di bawah satu jawatankuasa yang dipantau sendiri oleh beliau.

"Ini adalah jaminan yang telah kita persetujui dan akan dipenuhi seratus-peratus, InsyaAllah. Inilah satu perkembangan yang sangat signifikan selepas sahaja banyak perubahan yang dilakukan oleh pucuk pimpinan," kata Muhyiddin.

Menurut Muhyididn keputusan pilihan raya Batu Sapi juga merupakan justifikasi kepada penolakan rakyat terhadap pelbagai isu yang ditimbulkan pembangkang ketika berkempen termasuk isu 'Sabah For Sabahan' dan autonomi Sabah jelas ditolak rakyat Sabah.

"Satu perkembangan menunjukkan bahawa rakyat Sabah menerima mereka adalah sebahagian daripada seluruh rakyat 1Malaysia ini," katanya.

Muhyiddin juga mengucapkan terima kasih kepada pengundi yang menyokong B Ndan Musa dan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang masing-masing merupakan pengarah dan timbalan pengarah jentera pilihan raya BN di Batu Sapi yang begitu gigih bekerja hingga mencapai kejayaan.

Selain itu Muhyiddin turut mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada pengarah jentera pilihan raya kecil Dun Galas Tengku Razaleigh Hamzah dan timbalannya Datuk Seri Mustapa Mohamed serta seluruh jentera BN di Galas atas usaha gigih mereka sehingga mencapai kejayaan.

"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pihak pasukan keselamatan yang telah berusaha memastikan proses pilihan raya berjalan dengan licin dan berjaya," katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan