Shahrizat Jamin Makanan Untuk Mangsa Banjir Cukup

Diterbitkan: Khamis, 4 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KANGAR: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pada Khamis memberi jaminan bekalan makanan kepada mangsa banjir di semua pusat pemindahan adalah mencukupi.

Sebaliknya kata beliau, yang menjadi masalah adalah pengangkutan untuk membawa bekalan tersebut ke kawasan yang terjejas.

"Ada tempat yang kenderaan pacuan empat roda pun sukar nak sampai. Kerana itu urusan menyediakan makanan pun terlewat sikit," katanya kepada pemberita selepas melawat pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan Sena, di sini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas rungutan mengenai kelewatan urusan penghantaran bekalan makanan di sesetengah pusat pemindahan di negeri itu.

Shahrizat juga menasihatkan mereka yang terlibat agar tidak gusar dengan perkara tersebut kerana pihaknya berusaha sedaya-upaya memastikan bekalan makanan tiba di tempat yang berkenaan.

Sementara itu, tinjauan Bernama pada Khamis mendapati kegiatan ekonomi di bandar Kangar lumpuh dengan semua premis perniagaan menutup operasi mereka.

Jalan raya sekitar bandar juga hanya boleh dilalui kenderaan berat, manakala Jalan Jubli Perak yang menempatkan beberapa pejabat wakil media massa pula ditutup kepada semua kenderaan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan