Pejabat Pelajaran Daerah Diminta Beroperasi 24 Jam, Pantau Banjir Dan Pelajar Terlibat - Berita Semasa | mStar

Pejabat Pelajaran Daerah Diminta Beroperasi 24 Jam, Pantau Banjir Dan Pelajar Terlibat

Diterbitkan: Khamis, 4 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Kementerian Pelajaran pada Khamis meminta semua pejabat pelajaran daerah (PPD) yang terlibat dengan bencana banjir agar beroperasi 24 jam bagi memantau suasana bencana serta pelajar yang terlibat.

Timbalan Menteri berkenaan Dr Mohd Puad Zarkashi berkata langkah itu bagi memastikan mereka memperolehi maklumat terkini serta tepat untuk disalurkan kepada jabatan pelajaran negeri (JPN) bagi memudahkan bantuan.

"Saya berharap PPD dapat membekalkan segala maklumat dan data yang terkini tentang pelajar yang terlibat dengan bencana banjir kepada JPN supaya mereka yang berkenaan dapat dipindahkan ke tempat yang lebih selamat," katanya kepada pemberita, di sini, Khamis.

Beliau berkata maklumat terkini juga penting bagi kementerian melaksanakan langkah-langkah perlu khususnya membabitkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Mengulas mengenai persediaan kementerian untuk memastikan bencana itu tidak menjejaskan peperiksaan SPM yang dijadual bermula 23 Nov ini, Mohd Puad berkata antara langkah yang diambil ialah menyediakan asrama untuk pelajar terbabit.

"Kami juga membuat persediaan untuk memindahkan pusat peperiksaan ke sekolah yang tidak terlibat sekiranya kejadian banjir berlaku di pusat berkenaan," katanya.

Beliau yang ditemui selepas melawat pusat pemindahan banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan Hutan Kampung itu juga memberi jaminan pihaknya menerusi PPD dan JPN akan memberikan maklumat terkini kepada pelajar sekiranya berlaku perubahan. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan