MADA Nafi Lepas Air Empangan Pedu, Ahning

Diterbitkan: Khamis, 4 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) Datuk Seri Mahdzir Khalid meminta orang ramai supaya tidak mempercayai khabar angin bahawa Mada akan melepaskan air daripada Empangan Pedu dan Empangan Ahning di daerah Padang Terap.

Katanya ketinggian air di kedua-dua empangan itu masih jauh untuk mencapai tahap air melimpah dan khabar angin itu berpunca daripada pihak yang tidak bertanggungjawab yang cuba mengambil kesempatan dalam keadaan yang sukar di negeri ini ketika ini.

"Khabar angin ini boleh membimbangkan penduduk di Alor Setar...ia tidak benar sama sekali. Ketinggian air di Empangan Pedu ketika ini adalah 308 kaki sedangkan air melimpah 320 kaki. Air hanya melimpah jika mencapai paras 320 kaki.

"Di Empangan Ahning ketinggian air adalah 363 kaki manakala air melimpah 370 kaki. Dengan ketinggian sekarang, masih sukar untuk paras air mencapai tahap air melimpah," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau juga meminta orang ramai tidak mempercayai khabar angin bahawa dua empangan itu hampir pecah.

"Saya minta orang ramai jangan bimbang. Kita diberi jaminan oleh konsultan bahawa empangan itu akan bertahan selama 100 tahun sedangkan ia baru 40 tahun," katanya.

Kedah kini dilanda banjir terburuk dengan lebih 28,000 orang di lima daerah telah dipindahkan sehingga kini.- BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan