Ketua Puteri Umno Kuala Krai Diserang Ketika Rayu Undi - Berita Semasa | mStar

Ketua Puteri Umno Kuala Krai Diserang Ketika Rayu Undi

Diterbitkan: Khamis, 4 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GUA MUSANG: Ketua Puteri Umno Kuala Krai, Suzaini Adlina Mohd Shukri, cedera diserang seorang wanita dipercayai anggota Dewan Muslimat PAS ketika sedang merayu undi di Sekolah Kebangsaan Cina Gua Musang di sini dalam pilihan raya kecil Galas di sini Khamis.

Dalam kejadian 11.30 pagi itu, Suzaini Adlina, 37, diserang dari arah belakang oleh wanita itu yang menggunakan tiang bendera PAS menyebabkan beliau cedera di dahi dan hidung.

"Ketika itu peraih undi PAS berada di sebelah kanan dan saya berada di sebelah kiri, dan apabila datang seorang pengundi, saya turut bersama dengan anggota muslimat PAS mengiringi pengundi tersebut ke pusat pengundian.

"Secara tiba-tiba saya diserang daripada belakang oleh seorang Muslimat lain dari arah belakang. Dia mengetuk saya dua kali dan apabila saya berpaling ke arah penyerang itu, sekali lagi saya diserang," katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Daerah Gua Musang.

Suzaini Adlina berkata sebaik beliau melihat muka wanita itu, penyerangnya dilarikan oleh beberapa penyokong PAS. Katanya beliau tidak membalas serangan kerana wanita itu sudah berusia.

"Saya kesal sebab perkara ini dilakukan oleh seorang penyokong parti yang mendakwa mereka mengamalkan dasar Islam," katanya.

Ketua Puteri Umno Kelantan Noor Wahida Patuan, 30, berkata sejak dari awal pusat pengundian dibuka, keadaan di situ agak tegang kerana penyokong PAS telah melakukan provokasi dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada penyokong Barisan Nasional.

"Namun kami tidak bertindak balas kerana Ketua Puteri Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin telah mengarahkan kami menggunakan pendekatan yang berhemah untuk menarik pengundi," katanya.

Pilihan raya itu melibatkan calon BN Abdul Aziz Yusoff dan calon PAS Dr Zulkefli Mohamed.

Mengulas kejadian itu, Rosnah berkata tindakan ganas semata-mata untuk meraih undi adalah satu perbuatan yang kurang waras.

Beliau berkata jika ada perselisihan pendapat mahupun berbalas kata-kata dalam tempoh kempen, ia tidak harus diikuti dengan tindakan ganas.

Rosnah berkata memukul orang adalah satu budaya yang sangat hina dan menjejaskan pandangan orang lain terhadap Islam.

Beliau berkata Puteri Umno akan memastikan pihak polis menjalankan siasatan yang adil dan tindakan tegas diambil terhadap penyerang itu.

"Saya juga berharap pemimpin PAS yang kononnya mengamalkan Islam mengambil tanggungjawab ke atas perkara ini, mohon maaf kepada keluarga mangsa dan menyelesaikan perkara ini dengan segera.

"Islam tidak membenarkan kezaliman ke atas sesiapa pun," katanya.

Rosnah berkata kejadian itu tidak melemahkan semangat perjuangan Puteri Umno malah ia menyedarkan anggota-anggotanya agar tidak terikut-ikut budaya "gedebe" (perkataan Kelantan bermaksud samseng). -BERNAMA

   

iklan

Video

Selasa, 19 Jun 2018 1:13 PM

Takdir ibu & anak 'pergi' bersama

Selasa, 19 Jun 2018 8:30 AM

Cabaran anyam ketupat!

Isnin, 18 Jun 2018 8:00 AM

mStar teka lagu Raya - Challenge

Jumaat, 15 Jun 2018 6:00 AM

Raikan Syawal, bukan 'membawang'

Rabu, 13 Jun 2018 3:40 PM

Perihal suka iklankan maksiat di Instagram

Rabu, 13 Jun 2018 8:00 AM

Jangan sibuk main 'game' dalam bulan puasa

Selasa, 12 Jun 2018 4:06 PM

Cabaran RM15 di bazar Ramadan

Selasa, 12 Jun 2018 9:00 AM

Wartawan mStar pening pilih baju raya

Kolumnis

iklan

Iklan