Kerajaan Kedah Lemah Bantu Mangsa Banjir -Shahrizat

Diterbitkan: Khamis, 4 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JITRA: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menyelar Kerajaan Negeri kerana tidak bertindak agresif dan lemah dalam menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di Kedah.

Beliau berkata, dari maklum balas yang diperolehi semasa mesyuarat Penyelarasan Banjir Negeri Kedah, didapati bahawa kerajaan negeri ini tidak cukup membantu rakyat dan tidak membekalkan bantuan sepatutnya kepada mangsa banjir.

"Tak macam di Perlis pentadbiran memang kemas, di sana kerajaan negeri bekerjasama dengan kerajaan persekutuan turun bersama-sama rakyat.

"Saya lihat nasib mangsa banjir di Kedah, memang tidak terbela, nasib baik ada pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) kalau tidak, tak tahulah apa yang akan terjadi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat berkenaan di Sekolah Kebangsaan Tunjang, di sini, Khamis.

Katanya, pemimpin-pemimpin dalam kerajaan Kedah tidak seharusnya melepaskan tangan kepada BN walaupun terbukti BN memang boleh melakukan semua kerja dengan baik.

Shahrizat berkata, menyedari bantuan dari kerajaan negeri sangat lemah, pihaknya akan meningkatkan bantuan bagi memastikan nasib mangsa-mangsa banjir di negeri ini terbela.

Katanya, selain itu pihaknya juga terkilan kerana banyak bantuan yang disalurkan melalui Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) dianggap sumbangan daripada kerajaan negeri. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan