Banjir Di Rantau Panjang Pulih Sepenuhnya

Diterbitkan: Khamis, 4 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

RANTAU PANJANG: Keadaan banjir di sini pulih sepenuhnya apabila kesemua 475 mangsa yang dipindahkan di tiga pusat pemindahan telah pulang ke rumah masing-masing sejak tengah hari ini.

Jurucakap Bilik Operasi Gerakan banjir Pasir Mas berkata pihaknya juga akan menutup bilik operasi itu pada bila-bila masa sahaja.

"Mereka kini dibenarkan kembali ke rumah masing-masing berikutan keadaan hampir pulih sepenuhnya," katanya kepada Bernama. Jalan alternatif yang menghubungkan Rantau Panjang dan Jeli di Kampung Lalang Pepuyu yang terputus sejak tiga hari lepas juga sudah dibuka semula kepada semua kenderaan di sini, Khamis.

Sementara itu, pegawai penyelaras pusat pemindahan di stesen keretapi lama Mohd Pauzi Ariffin berkata pusat itu akan ditutup sepenuhnya petang Khamis.

"Semua mereka sudah pulang untuk membersihkan rumah dan mengambil peluang daripada cuaca panas hari ini," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Unit Jabatan Pertahanan Awam Malaysia Rantau Panjang Lt Yusnizam Jusoh berkata lebih 300 anggotanya yang sebelum ini terlibat dalam penyediaan makanan, akan ditugaskan membantu penduduk membersihkan rumah mereka.

"Tugas kami tidak berhenti setakat menolong mangsa sebelum dan semasa banjir, tetapi turut membantu mangsa banjir walaupun selepas berlaku bencana alam itu," katanya.

Yusnizam berkata anggotanya juga diletakkan dalam keadaan bersedia bagi menghadapi kemungkinan banjir pusingan kedua yang dijangka melanda pertengahan bulan ini.

Sementara itu, jurucakap bilik gerakan banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri memberitahu Bernama, bacaan paras air Sungai Golok semakin surut pada 9.75 meter walaupun masih melepasi paras bahaya 9 meter.

"Paras air sungai utama yang lain sudah kembali ke paras normal," katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan