JPP Didakwa Tak Bersedia Pantau Pemilihan Pusat PKR

Diterbitkan: Rabu, 3 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) didakwa kurang bersedia sehingga menyebabkan berlakunya kesilapan data pengundian pada proses pemilihan pucuk pimpinan parti itu baru-baru ini.

Pengurus kempen Datuk Zaid Ibrahim, Rashid Azad Khan berkata masalah keputusan yang tidak tepat hanya akan mencemarkan imej PKR sebagai sebuah parti yang telus dan adil.

"Saya lihat JPP seperti tidak bersedia untuk melaksanakan proses pemilihan kali ini. Ini baru keputusan pemilihan pusingan pertama.

"Bagaimana sekiranya berlaku lagi keputusan yang tidak tepat dikeluarkan oleh JPP," katnya ketika dihubungi mStar Online di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution yang mengakui keputusan awal yang dipaparkan melalui laman web rasmi parti itu tersilap gara-gara 'kesalahan manusia'.

Saifuddin mendakwa, kesilapan manusia yang berlaku disebabkan oleh kecuaian individu yang memasukkan dan mengemaskini data serta keputusan rasmi pemilihan parti baru-baru ini.

Mengikut keputusan pengundian yang dipaparkan di laman web rasmi parti bagi perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR, sebelum ini menunjukkan Zaid yang juga Penyelaras Pakatan Rakyat, mendapat keseluruhan 3,683 undi, meninggalkan pencabar terdekatnya, Azmin Ali yang juga Naib Presiden PKR (3,051).

Manakala seorang lagi calon Mustaffa Kamil Ayub mendapat 1,271 undi.

Bagaimanapun, halaman yang menyiarkan keputusan pengundian itu sudah tidak dapat lagi diakses selepas ibu pejabat parti itu mengeluarkan keputusan rasmi lain yang menunjukkan angka berbeza iaitu Azmin mendahului Zaid.

Ditanya sama ada beliau akan menghantar bantahan kepada JPP atas kesilapan yang berlaku, Rashid berkata: "Buat masa ini saya lihat, tidak ada keperluan untuk berbuat demikian."

"Kita akan lihat apa langkah yang akan diambil oleh JPP untuk atasi masalah kesilapan pengiraan undi minggu ini. Masalah seperti ini tidak wajar berlaku kerana ini melibatkan pemilihan pucuk pimpinan. Bagaimana kalau 400,000 ahli mengundi serentak? Pasti keadaan akan lebih kelam kabut," ujarnya dalam nada kesal.

Rashid yang juga Setiausaha Politik Zaid berkata, apa yang berlaku jelas menunjukkan JPP tidak bersedia untuk melaksanakan proses pengundian kali ini.

Kesilapan keputusan itu telah menyebabkan ada agen dan penyokong calon yang bertanding berang hingga ada yang mahu proses pengundian dihentikan seketika bagi menyiasat apa sebenarnya yang berlaku.

Terkini JPP mengesahkan bahawa Azmin mendahului dengan mendapat 3,051 undi sementara Zaid pula memperoleh hanya 2,529 undi manakala Mustaffa yang juga Naib Presiden (1,149).

Proses pengundian pemilihan pimpinan pusat PKR bermula 19 Oktober lalu akan berakhir pada 21 November depan.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan