Tengku Razaleigh Yakin Pengundi Muda Sokong BN

Diterbitkan: Selasa, 2 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GUA MUSANG: Barisan Nasional (BN) kini menumpukan usaha bagi menarik sokongan lebih 1,000 pengundi muda Melayu bagi memastikan kemenangan parti dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, Khamis sini.

Pengarah Pilihan Raya BN bagi DUN Galas, Tengku Razaleigh Hamzah berkata golongan itu menjadi fokus dalam kempen BN sekarang kerana kumpulan itu menyedari mengenai usaha BN melakukan perubahan demi masa depan mereka kerana isu utama kini ialah mewujudkan peluang pekerjaan kepada mereka.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Gua Musang berkata pengundi muda ini mahu kawasan Galas mempunyai peluang pekerjaan buat mereka agar mereka dapat merancang kehidupan dan menetap di sini.

"Sebagai MP, kita telah berusaha membawa masuk pelaburan dalam industri berasaskan kayu dan batu kapur tetapi tidak mendapat kerjasama daripada kerajaan negeri," katanya kepada Bernama di sini, Isnin.

Berikutan tiada respons daripada kerajaan negeri, tiada sebarang pelaburan luar di Gua Musang dan ini memaksa golongan muda Melayu mencari pekerjaan di luar Kelantan, katanya.

Razaleigh, yang merupakan Anggota Parlimen paling lama berkhidmat iaitu 41 tahun sejak 1969, berkata atas sebab itu, pengundi muda Melayu lebih cenderung menyokong BN kerana mereka telah menyaksikan peluang pekerjaan dalam kerajaan pimpinan BN di Kuala Lumpur dan Johor.

"Terdapat lebih setengah juta generasi muda Kelantan bekerja di Kuala Lumpur. Ada harapan bahawa kita (BN) dapat tawarkan bagi golongan muda yang ingin bekerja," katanya.

Sebagai pengundi tradisi Melayu, beliau berkata mereka berpecah kepada dua kumpulan, satu kumpulan bagi BN dan satu lagi PAS.

Pilihan raya pada 4 Nov ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN, Abdul Aziz Yusoff dan Dr Zulkefli Mohamed dari PAS. Ia diadakan berikutan kematian penyandangnya, Chek Hashim Sulaima, 46, dari PAS, pada 27 Sept.

Kerajaan PAS yang dipimpin Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat telah memerintah Kelantan sejak 1990 dan kini menguasai 38 kerusi dewan undangan negeri, manakala parti gabungannya, Parti Keadilan Rakyat satu kerusi dan B Nenam kerusi.

Ketika mengulas mengenai pendekatan bersemuka dalam kempen pilihan raya kecil ini, Tengku Razaleigh berkata penduduk di Galas menerimanya.

"Saya rasa ini merupakan cara terbaik bertemu orang ramai berbanding mengadakan ceramah di pentas," katanya.

Katanya strategi yang diinginkan adalah impak daripada pendekatan itu.

Razaleigh juga menafikan dakwaan Pas mengenai pengundi hantu sambil berkata adalah mustahil bagi BN membawa sejumlah besar pengundi ke Galas.

"Ia mengarut. Saya fikir mereka tidak ada isu untuk dibangkitkan semasa berkempen," katanya.

Beliau juga mengingatkan jentera kempen BN bahawa pengundi Melayu kini lebih berpngetahuan dan berpendidikan dan mereka begitu analitis mengenai isu politik. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan