Syarat Pemohon Lesen Vokasional Kekal

Diterbitkan: Selasa, 2 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan tidak bercadang membatalkan syarat yang mewajibkan pemohon lesen kenderaan komersil (lesen vokasional) sekurang-kurangnya mencapai ketinggian 154cm.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Rahim Bakri berkata syarat sedia ada adalah bagi memastikan pemandu kompeten dalam mengendalikan kenderaan di bawah kendalian mereka.

"Sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Kaedah 4(b)(i) dan 4(c)(iii), Kaedah-Kaedah Kenderaan Perkhidmatan Awam (Perlesenan dan kelakuan pemandu, konduktor dan penumpang) 1959 dan Kaedah 5(b) Kaedah-Kaedah Kenderaan Barangan (Perlesenan Pemandu 1965), pemandu-pemandu lesen vokasional dikehendaki mempunyai taraf kesihatan yang memuaskan dan fizikal yang sesuai dengan pengendalian kenderaan perdagangan.

"Ini bertujuan memastikan pemilik lesen vokasional tidak mengalami apa-apa penyakit yang boleh mengganggu tugas-tugas mereka sebagai pemandu atau yang mungkin membahayakan pengguna-pengguna jalan raya yang lain," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata bagaimanapun kelonggaran tetap diberi kepada pemohon yang tidak mencapai ketinggian itu bagi pertimbangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) asalkan kenderaan itu sesuai dan disertakan dengan laporan doktor.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Fong Po Kuan (DAP-Batu Gajah) berhubung syarat kelayakan permohonan lesen vokasional dan kelonggaran sedia ada.

Menjawab soalan Hamim Samuri (BN-Ledang), Abdul Rahim berkata peratus kemalangan yang disebabkan kenderaan komersil adalah kecil, iaitu 31 orang atau 0.4 peratus daripada 6,745 kematian akibat kemalangan jalan raya pada 2009.

Beliau berkata penyumbang utama kematian jalan raya adalah penunggang dan pembonceng motosikal iaitu 4,067 orang atau 60.2 peratus pada 2009.

"Walaupun banyak kes yang melibatkan kemalangan kenderaan komersil sejak akhir-akhir ini, hakikatnya, penunggang dan pembonceng motosikal merupakan antara mangsa kemalangan maut terbanyak di negara ini.

"Atas dasar itu, kementerian perlu menetapkan syarat yang ketat kepada pemohon lesen kenderaan komersil seperti berumur 21 tahun ke atas, mempunyai laporan kesihatan daripada doktor yang bertauliah serta menghadiri kursus teori dan amali yang ditetapkan supaya kita dapat lahirkan pemandu yang kompeten di jalan raya," katanya.

Hamim, dalam soalannya ingin tahu sama ada syarat permohonan lesen komersil yang ketat mampu mengurangkan kemalangan buruk yang diakibatkan kenderaan komersil. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan