Setiausaha Negara Amerika Tiba Untuk Lawatan Tiga Hari Ke Malaysia

Diterbitkan: Selasa, 2 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Setiausaha Negara Amerika Syarikat Hillary Rodham Clinton tiba di Terminal Skypark Subang, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah dekat sini malam Isnin untuk melakukan lawatan rasmi ke Malaysia selama tiga hari.

Isteri bekas Presiden Amerika Syarikat Bill Clinton diiringi delegasi yang meliputi lima pegawai kanan Jabatan Negara Amerika Syarikat.

Ketibaan Clinton dan rombongan pada pukul 8.35 malam itu disambut oleh Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Timbalan Menteri Luar Senator A. Kohilan Pillay dan Duta Malaysia ke Amerika Syarikat Datuk Seri Jamaluddin Jarjis.

Ketika di sini, Clinton dijadual menghadiri jamuan makan tengah hari yang dihoskan Anifah di Wisma Putra, Putrajaya dan kemudian mengadakan kunjungan hormat ke atas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Anifah dan Clinton dijangka mengadakan perbincangan mengenai hubungan kerjasama dua hala, isu-isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.

Clinton dijadual berlepas ke Papua New Guinea pada 3 Nov untuk lawatan rasmi. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan