Perdagangan Dua Hala Msia-AS Akan Berkembang - Menteri Luar

Diterbitkan: Selasa, 2 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Rodham Clinton yang kini dalam rangka lawatan rasmi ke Malaysia berkata beliau yakin Malaysia akan mampu menangani isu-isu perdagangan semasa dalam rundingan Perkongsian Kerjasama Trans Pasifik (TPP), yang bermatlamat mewujudkan pakatan perdagangan bebas serantau yang menyeluruh.

Beliau juga menyambut baik kemasukan Malaysia dalam TPP yang dianggotai lapan negara lain, termasuk Amerika Syarikat.

"Ini akan membantu meningkatkan hubungan perdagangan dengan meliberalisasikan perdagangan merentasi pelbagai jenis barangan," ujarnya.

TPP ialah perjanjian perdagangan bebas multilateral yang menyasarkan penyepaduan ekonomi rantau Asia Pasifik menerusi pengurangan tarif.

Selain Malaysia dan AS, negara lain yang terlibat dalam rundingan TPP ialah New Zealand, Chile, Singapura, Brunei, Australia, Peru dan Vietnam.

"Kami gembira Malaysia akhirnya menyerai rundingan TPP bulan lepas, yang pada hakikatnya akan meluaskan pasaran dan mewujudkan ruang yang sama rata untuk Malaysia di setiap negara yang menanggotainya," kata beliau.

"Saya tahu ada banyak isu sukar untuk ditangani memandangkan akan ada perkara yang tidak dipersetujui, namun kepimpinan Malaysia di rantau ini dalam mewujudkan pertumbuhan ekonomi yang lebih besar, sangat penting," katanya pada sidang media bersama selepas mesyuarat dua hala dengan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, di sini.

Setakat ini, tiga pusingan rundingan TPP sudah dijalankan. Pusingan pertama berlangsung di Melbourne pada Mac, kedua di San Francisco Jun lepas dan ketiga yang disertai Malaysia, berlangsung di Brunei.

Anifah pula berkata, beliau dan Clinton membincangkan trend perdagangan dua hala yang semakin meningkat di antara kedua-dua negara, dan "saya menegaskan kepada Clinton bahawa Malaysia melihat AS sebagai rakan penting dan bermakna untuk Malaysia."

"Pada 2009, AS merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia," katanya.

Antara 2004 dan 2009, AS merupakan pelabur asing kedua terbesar di Malaysia dalam sektor pembuatan.

Sehingga 31 Disember, 2009, 663 projek pembuatan bernilai AS$35 bilion telah dilaksanakan dan projek berkenaan mewujudkan peluang pekerjaan kepada lebih 160,000 orang penduduk negara ini.

Beliau juga berkata, Malaysia menghargai sokongan Washington kerana pembabitannya dalam TPP.

Kedua-dua pihak juga menyuarakan harapan agar TPP akan membuahkan hasil dengan memperkukuh hubungan ekonomi dua hala dan pelbagai hala antara kedua-dua negara.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan