Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim Masih Beroperasi Seperti Biasa

Diterbitkan: Selasa, 2 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) di Kepala Batas di sini, masih beroperasi seperti biasa walaupun kawasan sekitarnya kini dilanda banjir.

Ketua Unit Operasi LTSAH Abdul Rashid Md Yusob berkata setakat ini bahagian selatan landasan belum dinaiki air, manakala bahagian utara masih terkawal walaupun dinaiki air sedikit.

"Sehingga pukul 1.30 petang ini keadaan lapangan terbang ini masih terkawal dan kami sentiasa membuat pemantauan serta memastikan pam air berfungsi dengan baik," katanya ketika dihubungi di sini, Selasa.

LTSAH mengendalikan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) dari Alor Setar ke Kuala Lumpur sebanyak tiga kali sehari; Air Asia dari Alor Setar ke Kuala Lumpur (dua kali) dan FireFly dari Alor Setar ke Subang (dua kali).

Lapangan terbang yang mempunyai landasan sepanjang 2,745 meter dan 45 meter lebar itu terletak 13 kilometer dari Alor Setar dan boleh mengendalikan sehingga 800,000 penumpang setiap tahun.

Sementara itu Tinjauan Bernama di sekitar Kolej Tentera Udara (KTU)berhampiran LTSAH di sini mendapati kawasan hadapan kolej itu kini dinaiki air. Bagaimanapun pesawat Pilatus PC7 yang diguna untuk latihan penerbangan belum dipindahkan. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan