Kerajaan Yakin Terhadap Prospek Kumpulan Petronas Chemicals - Najib

Diterbitkan: Selasa, 2 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan yakin terhadap prospek pertumbuhan Petronas Chemicals Group Bhd, dalam meluaskan produk petrokimia yang lebih kompleks serta menyokong industri huluan dan hiliran, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Kami yakin dan membuat unjuran yang tinggi bahawa Petronas akan menyumbang terhadap memacu pembangunan inovasi baharu dan memperkukuh reputasi Malaysia sebagai antara hab utama produk petrokimia di Asia Tenggara," katanya.

Beliau berkata penyenaraian Petronas Chemicals Group, yang dijangkakan menjadi antara penyenaraian terbesar yang pernah dijalankan di Asia Tenggara, akan menyumbang secara ketara terhadap peluasan pasaran modal Malaysia dengan meningkatkan kecairan yang diperlukan untuk merangsang pertumbuhan ekonomi.

Selepas penyenaraian, beliau berkata ia akan menyumbang bahagian yang besar dalam Indeks Komposit FTSE Bursa Malaysia KL. "Menjelang akhir tahun ini, Petronas Group secara kolektifnya menyumbang lebih 10 peratus daripada jumlah permodalan pasaran Bursa Malaysia, dan lebih 16 peratus Indeks Komposit FTSE Bursa Malaysia KL," katanya semasa melancarkan prspektus kumpulan itu.

Teks ucapan Najib dibacakan oleh Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin. Tawaran awam permulaan syarikat itu menawarkan sehingga 2.48 bilion saham yang merupakan penawaran untuk menjual 1.78 bilion saham sedia ada dan terbitan awam 700 juta saham untuk rakyat Malaysia dan institusi asing serta pelabur terpilih pada harga institusi.

Najib berkata industri minyak dan gas menyumbang lebih daripada 10 peratus keluaran dalam negara kasar dan menjadikannya antara penyumbang utama kemakmuran Malaysia.

"Minyak dan gas merupakan antara aset negara yang bernilai tinggi, yang kami beri tumpuan sebagai antara 12 Bidang Ekonomi Utama Negara dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh," kata Perdana Menteri. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan