Banjir Di Utara Bertambah Buruh, Lebih 9,000 Orang Dipindahkan

Diterbitkan: Selasa, 2 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Keadaan banjir di utara Semenanjung kini bertambah buruk dengan jumlah mangsa yang dipindahkan di Kedah dan Perlis terus meningkat.

Hujan yang berterusan sejak semalam menyebabkan 9,264 penduduk daripada 2,214 keluarga di beberapa daerah di Kedah kini dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan banjir di seluruh negeri itu yang dibuka sejak semalam.

Di PERLIS pula, jumlah mangsa yang dipindahkan kini meningkat kepada lebih 3,000 orang berbanding kira-kira 1,600 orang malam tadi.

Di KEDAH, Kubang Pasu merupakan daerah paling teruk terjejas akibat banjir dan sehingga pukul 11.30 pagi ini seramai 6,215 orang dari 1,443 keluarga telah dipindahkan ke 34 pusat pemindahan.

Keadaan banjir di daerah itu dijangka bertambah buruk hari ini akibat aliran air dari daerah Padang Terap dan paras air di semua terusan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) dan sungai di Kubang Pasu kini melepasi paras bahaya.

Sehubungan itu, Pegawai Daerah Kubang Pasu Datuk Noh Dahya menasihatkan penduduk di daerah berkenaan terutama mereka yang terlibat dalam banjir besar pada 2005 supaya bersedia dan seboleh-bolehnya berpindah awal.

Ini kerana paras air dijangka meningkat dalam tempoh enam jam bermula pukul 11.30 pagi, katanya kepada Bernama di sini hari ini.

"Setakat ini boleh dikatakan hampir seluruh daerah ini dilanda banjir dan penduduk di 33 kampung dalam 16 mukim telah dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan banjir," katanya.

Pada 2005, lebih 11,000 penduduk dipindahkan akibat banjir di Kubang Pasu.

Selain Kubang Pasu, daerah lain yang kini dilanda banjir ialah Padang Terap dan sehingga kini seramai 2,368 orang telah dipindahkan, Kota Setar (313 orang) dan Pokok Sena (368 orang).

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Padang Terap Khalijah Latif berkata antara kampung yang terlibat di daerah itu ialah Mani A, Mani B, Mani C, Tanjung, Labi, Kuala Janing, Felcra Belimbing Tualak, Bendang Raja serta Padang Sanai.

Bacaan paras air bagi tiga sungai di daerah itu melepasi paras bahaya iaitu Sungai Kuala Nerang 21.08 meter (bahaya 17.07m), Sungai Kubu di paras 15.13m (bahaya 13.02m) dan Sungai Naka di paras 34.21m (bahaya 33m), katanya.

Tinjauan Bernama mendapati jalan utama dari Kuala Nerang menuju Padang Terap ditutup untuk semua lalu lintas.

Jurucakap bilik gerakan banjir Pokok Sena Noor Nazila Hassaim berkata tujuh kampung di daerah itu kini ditenggelami air, antaranya Kampung Bukit, Kampung Baru, Kampung Derang dan Kampung Bukit Hijau.

"Empat pusat pemindahan yang dibuka ialah di Sekolah Kebangsaan Bukit Hijau, Surau Seberang Paya, Dewan Kampung Empa dan Surau Permatang Limau," katanya.

Di Kota Setar, sebanyak 11 kampung ditenggelami air dengan semua sungai di daerah itu kini melepasi paras bahaya. -BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Isnin, 16 Oktober 2017 1:17 PM

Macam Mana Boleh Tersepit?

Kolumnis

iklan

Iklan