Polis Kaji Tindakan Ke Atas Syarikat Bas

Diterbitkan: Isnin, 1 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Polis sedang mengkaji tindakan yang boleh diambil terhadap syarikat bas yang bas miliknya terlibat dalam kemalangan yang mengorbankan tujuh penumpang di Km 38, Genting Sempah Jumaat lepas.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Khalid Abu Bakar berkata kes itu akan diteliti secara terperinci sebelum tindakan diambil ke atas pemandu ataupun syarikat bas berkenaan.

"Polis bersama-sama Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan sedang meneliti apa tindakan yang boleh diambil terhadap syraikat bas itu. Siasatan sedang berjalan dan apabila siap nanti, kita akan cadangkan (tindakan) kepada Pejabat Peguam Negara," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan tugas Ketua Polis Selangor kepada Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Thaiveegan Arumugam di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini pada Isnin.

Thaiveegan akan memangku jawatan tersebut sehingga Ketua Polis Selangor yang baru dilantik, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah pulang dari menunaikan ibadah haji.

Kemalangan tersebut melibatkan 43 orang Belia 4B dari Kampung Baru Siong, Baling, Kedah berserta dua pemandu semasa bas yang mereka naiki terbabas ketika menuruni Genting Highlands kira-kira 7 malam.

Seramai 16 orang parah dan 21 lagi termasuk dua pemandu tersebut cedera ringan.

Khalid juga kecewa dengan sikap syarikat bas berkenaan yang gagal memastikan pemandu mereka mempunyai lesen memandu yang sah.

"Pemandu bas yang terlibat dalam kemalangan maut itu dikatakan tidak mempunyai lesen. Ini pelik sekali. Mana peranan pengusaha syarikat pengangkutan dalam isu ini. Kenapa mereka lepas tangan dari memastikan petugas mereka mematuhi peraturan.

"Pada hemat saya, perkara utama yang perlu disemak syarikat bas sebelum mengambil pemandu mereka ialah sama ada mereka mempunyai lesen memandu yang sah ataupun tidak," katanya.

Dalam perkembangan lain, Khalid memberi jaminan kepada pengundi bahawa proses pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri Galas dan kawasan Parlimen Batu Sapi yang diadakan serentak Khamis ini akan berjalan lancar.

Dalam ucapannya pula, Khalid berkata antara masalah yang perlu ditangani secara berhati-hati di Selangor ialah mengenai isu hubungan antara kaum.

"Polis akan memberi lebih tumpuan di kawasan panas yang mana perhubungan antara kaum perlu dipertingkat. Kita dapat kerjasama baik daripada Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional dan badan bukan kerajaan dalam hal ini," katanya.

Beliau juga berkata sejak menjadi Ketua Polis Selangor bagi tempoh lebih tiga tahun, beliau berjaya mengurangkan kadar jenayah sebanyak 12.55 peratus. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan