Pasukan Liputan TV3 Dikejar "Wedhus Gembel" Merapi

Diterbitkan: Isnin, 1 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

YOGYAKARTA: Letusan dahsyat Gunung Merapi pagi ini memberi pengalaman ngeri kepada sepasukan wartawan TV3 yang berada di kedudukan yang agak hampir ke puncak gunung berapi itu.

Bagaimanapun mereka sempat melarikan diri dengan memecut kereta menuruni gunung itu untuk berlindung di pusat pemindahan di Kepuhajo.

"Ketika meletus, saya dan kru adalah orang yang berada di lokasi paling hampir dengan puncak Merapi. Saya bersama isteri dan anak penduduk yang terkorban di rumah yang musnah.

"Kami tengah angkat TV untuk dibawa ke pusat pemindahan. Tiba-tiba gunung meletup. Kami pun lari lintang pukang. Awan panas mengejar dengan laju di belakang dan di atas kereta kami...Benar-benar situasi yang membimbangkan," kata Ketua Biro TV3 Indonesia Didik Budiarto.

Dalam keadaan panik itu, kata Didik jurukamera beliau Paulus Dodi telah muntah-muntah sehingga tak berdaya berdiri dan terpaksa ditenang dan dipulihkan semangatnya yang menjadi seperti hampir gila seolah-oleh baru melihat hantu.

"Pengalaman tadi, kita macam dikejar 100 harimau lapar. Tak ada lagi manusia di kawasan itu. Tapi tadi kami sempat shoot bangkai-bangkai lembu dan kerbau. Benar-benar kampung yang musnah. Alhamdulillah kami selamat.

"Wartawan (Nurul Fariha) saya pun hanya dapat melaung cepat! Cepat pak! kepada pemandu (Edi Nasroni). Beliau sekarang tengah rehat," katanya.

Menceritakan bagaimana mereka boleh berada di situ, Didik berkata mereka mencuri masuk ke kawasan yang telah ditutup laluannya itu oleh pihak berkuasa kerana ingin membuat shooting untuk program Majalah Tiga.

"Gunung itu meletus manakala kami tengah mahu masuk kawasan kubur keluarga mangsa di Kaliadem. Sepatutnya kami mahu shooting ibu dan anak itu di kubur ayahnya.

"Tapi tiba-tiba awan panas sudah ada di atas kepala kami. Kami semua lari lintang pukang ke kereta. Kelajuan kereta beradu cepat dengan awan yang mengejar....," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan