N45 Galas: Terjemah Kejayaan Piala Malaysia Pada 4 November ini

Diterbitkan: Isnin, 1 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GUA MUSANG: Kejayaan bersejarah pasukan Kelantan menjulang Piala Malaysia boleh dilihat sebagai petunjuk perubahan angin politik bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

Pengarah Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) bagi DUN Galas, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, kejayaan tersebut menggambarkan harapan golongan muda untuk menikmati lebih banyak pencapaian yang membanggakan.

Justeru beliau berharap golongan muda akan memberi sokongan kepada BN yang terbukti mampu memberikan peluang berkenaan kepada rakyat.

"Kalau tengok semangat kepada pasukan ini memang tinggi dan saya harap ia diterjemahkan ke dalam (pilihan raya kecil) Galas, saya percaya orang muda banyak bersama kita," katanya kepada media pada majlis sambutan pasukan bola sepak Kelantan bersama Piala Malaysia di Dataran Kesedar di sini, Isnin.

Sabtu lalu, pasukan Kelantan berjaya menamatkan penantian selama 89 tahun untuk merangkul piala berprestij bola sepak negara itu.

Kemenangan 2-1 ke atas Negeri Sembilan sangat bermakna kepada pasukan The Reds Warriors itu, malah lebih penting lagi kerana ia adalah pengubat duka dengan kekalahan tahun lalu.

Kejayaan itu juga dilihat sebagai pencapaian terbaik Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa yang juga bekas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan.

Dalam pada itu Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata beliau sedia mengetuai rakyat untuk bangkit dan berjuang bagi membebaskan diri mereka dari belenggu kemiskinan ekoran kegagalan kerajaan PAS Kelantan menunaikan tanggungjawab mereka.

Tegas beliau, rakyat sudah bosan dengan kehidupan yang dibelenggu serba kekurangan justeru perubahan dan keadilan perlu dituntut demi masa depan mereka.

"Rakyat sudah tidak mahu berterusan dalam kemiskinan dan saya bersedia mengepalai perjuangan ini supaya dapat kita bangkit dan baiki kehidupan ini.

"Gua Musang membangun tetapi seluruh kawasan Galas ketinggalan. Kita mahu ia sama-sama dibangunkan supaya mereka berpeluang menikmati kemajuan dan kebahagian hidup," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan