Lebih 2,000 Dipindah Akibat Dilanda Banjir Di Kedah

Diterbitkan: Isnin, 1 November 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

ALOR SETAR: Seramai 2,016 penduduk daripada 483 keluarga di beberapa daerah di Kedah dipindahkan ke pusat penempatan banjir apabila rumah mereka dinaiki air akibat hujan berterusan sejak Ahad.

Daripada jumlah itu, 1,449 penduduk daripada 359 keluarga adalah dari daerah Padang Terap, manakala 491 mangsa daripada 101 keluarga adalah dari Kubang Pasu dan 70 penduduk daripada 23 keluarga di Kota Setar.

Penghulu Mukim Tualak, Padang Terap, Sharizan Shaari berkata 28 kampung di daerah berkenaan dilanda banjir dan mangsa telah dipindahkan bermula 7 pagi Isnin.

Antara kampung yang terlibat ialah Mani A, Mani B, Mani C, Tanjung, Labi, Kuala Janing, Felcra Tualak, Bendang Raja serta Padang Sanai.

Sebanyak 28 pusat pemindahan telah dibuka antaranya di dewan kampung Mani A, surau kampung Mani B dan Mani C, dewan Felcra Tualak, dewan Kampung Padang Sanai, bangunan Jawatankuasa Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP), masjid Kampung Labi, masjid Kampung Tanjung serta masjid Bendang Raja.

"Jumlah mangsa yang dipindahkan mungkin meningkat sekiranya hujan tidak berhenti sehingga malam ini," katanya ketika dihubungi di sini Isnin.

Menurut Sharizan, bacaan paras air Sungai Kuala Nerang telah melepasi paras bahaya iaitu 19.81 meter berbanding paras bahaya 17.07 meter manakala tiga lagi sungai berada pada paras berjaga-jaga iaitu Sungai Padang Sanai di paras 35.83m (paras bahaya 36m), Sungai Kubu di paras 12.81m (paras bahaya 13.02m) dan Sungai Naka di paras 31.82 (paras bahaya 33m).

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Daerah Kubang Pasu, Fadzin Long, berkata daripada jumlah mangsa di daerah itu, seramai 342 daripada 65 keluarga ditempatkan di dewan kampung Changkat Setoi, Changlun.

Seramai 133 orang lagi daripada 30 keluarga dari Kampung Belukar dan Kampung Darat, Changlun ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Changlun, manakala seramai 16 orang daripada enam keluarga berada di Sekolah Kebangsaan Malau.

Menurut Fadzin, jumlah berkenaan dicatat sehingga 6 petang dan dijangka meningkat memandangkan hujan masih turun.

Di Kota Setar, Ketua Kampung Taman Indah, Shuib Mahmod berkata di kawasan Anak Bukit di sini dua pusat penempatan mangsa banjir dibuka iaitu di Sekolah Kebangsaan Gunung dan Sekolah Kebangsaan Titi Gajah.

Katanya sehingga pukul 6 petang Isnin seramai 16 mangsa daripada lapan keluarga ditempatkan di SK Gunung manakala 60 mangsa daripada 15 keluarga dipindahkan ke SK Titi Gajah.

Kebanyakkan mangsa yang dipindahkan adalah dari kampung Lorong Pam Air dan Alor Perang, Anak Bukit, di sini.

Di Pokok Sena, dua jalan utama yang menghubungkan daerah itu dengan Kuala Nerang dan Bukit Pinang dinaiki air dan telah ditutup kepada kenderaan ringan, namun tiada penduduk dipindahkan setakat ini.

Bilik gerakan di setiap daerah akan dibuka 24 jam untuk memantau keadaan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan