Tanjong Karang Bakal Jadi Kawasan Ikan Baung Promosi Agro Pelancongan

Diterbitkan: Ahad, 31 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

TANJONG KARANG: Jika Temerloh, Pahang terkenal dengan penternakan ikan patin, Tanjong Karang, Selangor pula bakal menjadi kawasan sumber utama penternakan ikan baung dalam usaha mempromosikan agro pelancongan di negara ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar berkata bagi merealisasikan perancangan itu, Jabatan Perikanan akan melepaskan kira-kira 10,000 benih anak ikan baung di Sungai Ban Canal, Homestay Kampung Sungai Sireh di sini selewat-lewatnya pada Disember ini.

"Kita akan perkenalkan kawasan ini sebagai sumber ikan baung dan menggalakkan kaki pancing dari seluruh negara datang ke sini sekaligus mendekatkan diri mereka dalam sektor pertanian," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang pertandingan memancing sempena program sehari di Sungai Ban Canal Tanjong Karang, Homestay Kampung Sungai Sireh di sini, Ahad.

Seramai 1,200 peserta dari seluruh negara menyertai pertandingan memancing anjuran Jabatan Perikanan bermula seawal pukul 8 pagi sehingga pukul 1 tengah hari.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Perikanan Malaysia Datuk Suhaili Lee berkata benih-benih anak ikan baung akan diambil dari tiga pusat pengumpulan benih anak ikan milik jabatan itu yang terletak di Negeri Sembilan dan Pahang.

"Tujuan kita melepaskan benih anak ikan baung ialah untuk menambah dan membiakkan sumber ikan yang terdapat dalam Ban Canal ini secara besar-besaran.

"Buat permulaan kita akan lepaskan 10,000 benih anak ikan baung yang setiap ekor bernilai lima sen mengikut saiz di sungai sepanjang kira-kira tiga kilometer ini dan sekiranya mendapat sambutan menggalakkan, kita akan teruskan usaha ini dengan menambah jumlah benih anak ikan tersebut," katanya.

Ditanya mengapa memilih spesies ikan jenis Baung, Suhaili berkata potensi untuk ikan itu membiak sangat tinggi kerana sungai itu merupakan habitat asal bagi ikan dari spesies sama.

Sementara itu, seorang penduduk dari kampung Haji Razali di sini, Ngahmadi Ngamin, 57, yang memenangi tempat pertama pertandingan memancing berkata dia bersyukur kerana minatnya dalam aktiviti memancing sejak 20 tahun lepas memberi tuah kepadanya apabila memenangi wang tunai RM20,O00 serta hamper.

Ngahmadi, bapa kepada lima orang anak dan datuk kepada seorang cucu, berjaya menaikkan ikan kaloi seberat 2.47 kg dengan berumpankan cacing kampung.

"Saya jarang sertai pertandingan dan tidak pernah pegang duit sebanyak ini. Alhamdulillah hari ini saya berjaya dan duit ini saya akan simpan untuk anak-anak saya," katanya yang menerima hadiah wang kemenangan daripada Noh.

Tempat kedua dimenangi Razali Saini yang berjaya menaikkan ikan Belida seberat 1.25kg dan membawa pulang wang tunai RM9,000 manakala tempat ketiga dimenangi oleh Norsim Rajinin yang menaikkan ikan Belida seberat 1.15kg dan membawa pulang wang tunai RM4,000.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan