Barangan Keperluan Menjelang Deepavali Dijamin Mencukupi

Diterbitkan: Ahad, 31 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

BERA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan mengadakan perjumpaan dengan pengimpot dan pembekal daging kambing esok bagi membincangkan harga daging itu yang didakwa dijual lebih mahal menjelang perayaan Deepavali Jumaat ini.

Menteri berkenaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata harga daging import ditetapkan dijual RM20 sehingga RM22 sekilogram manakala daging kambing segar tempatan dijual RM24 sehingga RM35 bergantung kepada baka kambing.

"Kita akan mengadakan rundingan perjumpaan itu esok selepas menerima banyak aduan daripada masyarakat India yang mendakwa harga daging kambing import telah dinaikkan di pasaran," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan sempena perayaan Deepavali kepada 200 warga emas, ibu tunggal, anak yatim dan keluarga miskin kawasan Parlimen Bera di Triang, dekat sini, Ahad.

Beliau berkata menerusi perjumpaan itu, pihaknya akan dapat mengetahui punca sebenar yang berlaku dan tindakan sewajarnya akan diambil.

"Kita tidak mahu membebankan pengguna terutamanya masyarakat India yang akan menyambut perayaan Deepavali Jumaat ini," kata Ismail Sabri.

Beliau turut memberi jaminan bahawa bekalan barangan keperluan menjelang Deepavali mencukupi.

"Pada perayaan Deepavali ini, kerajaan telah menetapkan 14 jenis barang disenaraikan di bawah Skim Kawalan Harga antaranya termasuk daging kambing import, gula dan tepung," katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan