BN Dilihat Lebih Selesa Menang Kerusi Parlimen Batu Sapi

Diterbitkan: Sabtu, 30 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SANDAKAN: Selepas separuh masa atau pusingan pertama tempoh berkempen, calon Barisan Nasional (BN) Datin Linda Tsen, balu mendiang Datuk Edmund Chong Ket Wah, dilihat berada dalam keadaan lebih selesa untuk memenangi pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi pada 4 November ini.

Walaupun realiti di bahagian akar umbi belum jelas untuk beliau berasa benar-benar selesa, pemerhati politik percaya undi pembangkang yang terpecah antara Datuk Yong Teck Lee dari Parti Maju Sabah (SAPP) dan Ansari Abdullah dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), bakal memberi kelebihan kepadanya pada pilihan raya itu.

Kerusi Batu Sapi kosong berikutan kematian suami Tsen, penyandang dan anggota Parlimen kawasan berkenaan selama dua penggal, selepas terbabit dalam satu kemalangan pada 9 Oktober lepas.

Parlimen Batu Sapi terdiri daripada dua kerusi Dewan Undangan Negeri iaitu Karamunting dan Sekong. Kebanyakan pemerhati politik berpendapat calon BN mempunyai kelebihan di kalangan pengundi Bumiputera beragama Islam berbanding PKR dan SAPP, terutama di Sekong yang merupakan kubu kuat Umno, selain memberi tentangan sengit bagi lebih 9,000 undi kaum Cina di kawasan itu, lebih-lebih lagi Karamunting.

Bagaimanapun, mereka yakin dengan pelantikan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman sebagai pengurus operasi pilihan raya dan kehadiran Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkempen untuk BN, sokongan kaum Cina di Batu Sapi mungkin berpihak kepada parti gabungan pemerintah. Merujuk keputusan pilihan raya negeri pada 2008 bagi kawasan Inanam, pemerhati politik berkenaan berkata calon BN dari Parti Bersatu Sabah (PBS) telah memenangi kerusi itu hanya kerana undi lawan berpecah, dan tidak mustahil jika perkara sama berulang di Batu Sapi.

"Jika kita melihat jumlah undi yang diperoleh PBS, iaitu lebih daripada 5,000 dan jumlah undi kedua-dua calon DAP dan PKR yang lebih 7,000 pada pilihan raya Inanam lepas, ia menunjukkan bahawa pecahan undi tersebut memberi kelebihan kepada BN. "Kali ini, di Batu Sapi, calon BN juga berdepan dua parti pembangkang iaitu SAPP dan PKR. Atas kertas, Linda Tsen kelihatan berada dalam keadaan lebih selesa bagi mempertahankan kerusi Parlimen Batu Sapi untuk BN, namun politik di Sabah sentiasa berubah, dan apa saja boleh berlaku," kata mereka.

Bagaimanapun, SAPP yakin memperoleh lebih separuh daripada undi kaum Cina dan mereka yang berkempen mendakwa Yong, bekas Ketua Menteri, semakin mendapat sokongan dalam kempennya, namun, sama ada parti tempatan itu akan menerima lebih 50 peratus undi, merupakan soalan cepumas yang menghantui pemerhati politik serta rakyat Sabah.

Sementara itu, PKR juga yakin mampu melakukan kejutan dengan memenangi kerusi Parlimen Batu Sapi dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dipetik sebagai berkata semalam, bahawa "parti tersebut semakin mendapat sokongan dalam kempennya". Kesemua ini akan dapat disaksikan tidak lama lagi kerana kesemua parti bertanding mempunyai tempoh lima hari untuk berkempen bagi memenangi hati pengundi di Batu Sapi. Bagaimanapun, presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) VK Liew yakin BN akan mempertahankan kerusi Parlimen Batu Sapi.

"Linda Tsen berkelayakan dan beliau telah lama berkecimpung dalam parti politik bersama-sama mendiang suaminya. Saya yakin beliau mampu menangani situasi ini dengan baik. Ini juga merupakan satu penghargaan kepada golongan wanita dan memberi gambaran yang baik kepada imej BN.

"Selama ini, wanita mahu lebih ramai wakil mereka di Parlimen, dan pada kali ini, pengundi dari golongan itu boleh berhimpun di belakang Linda dan membantu beliau mencapai kemenangan besar," kata Liew.

Pilihan raya kecil itu juga penting untuk BN membuktikan bahawa Sabah masih menjadi "deposit tetap" gabungan parti pemerintah, selain platform untuk kelangsungan parti politik terutama SAPP, yang meletakkan harapan menggunung kepada presidennya, "taiko" Yong untuk memenangi kerusi Parlimen Batu Sapi.

Pada pilihan raya umum Mac 2008, Datuk Edmund Chong (BN) memperoleh 9,479 undi bagi menewaskan calon Bebas Dr Chung Kong Wing yang mendapat 5,771 undi, dengan majoriti 3,708 undi.

Batu Sapi mempunyai 25,582 pengundi, yang terdiri daripada 24,047 pengundi biasa dan 1,535 pengundi pos.

Sejumlah 15,099 atau 59.02 peratus merupakan pengundi Bumiputera beragama Islam, 689 Bumiputera bukan Islam (2.69 peratus), 9,737 kaum Cina (38.06 peratus) dan lain-lain 57 orang (0.22 peratus). - BERNAMA

iklan

Video

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 3:37 PM

Siapa Haida Hafiz?

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Selasa, 17 Oktober 2017 9:00 AM

Ferhad Nak Berdangdut!

Kolumnis

iklan

Iklan