Calon PKR Berkeras Mahu Debat Dengan Yong Teck Lee

Diterbitkan: Jumaat, 29 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SANDAKAN: Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi, Ansari Abdullah mendesak supaya satu debat diadakan dengan calon Parti Progresif Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee.

Katanya, Yong yang juga Presiden SAPP dan bekas ketua menteri hanya membuat alasan bagi mengelakkan perdebatan apabila mendakwa bahawa beliau (Ansari) tidak mempunyai local standi untuk mewakili PKR kerana beliau hanya merupakan ketua parti bagi Tuaran.

"Debat itu bukan antara dua parti. Debat itu antara calon-calon (bagi pilihan raya 4 Nov). Jadi, saya harap Datuk Yong akan hadir untuk membentangkan kesnya agar penduduk Batu Sapi dapat menjadi hakim mengenai ketiga-tiga calon yang manakah pilihan terbaik bagi mereka.

"Mungkin Datuk Yong memikirkan mengenai satu kes mahkamah membabitkan kami apabila saya mewakili (bekas Ketua Menteri Sabah) Datuk Harris (Salleh). Tapi anda boleh bagi tahu Yong, kali ini rakyat akan menjadi hakim dan ini bukanlah kes mahkamah," katanya kepada pemberita.

Turut hadir pada sidang akhbar itu ialah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Pengerusi DAP Sabah, Hiew King Chiu dan Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar. Semalam, Yong berkata, Ansari tidak mempunyai local standi untuk berdebat dengannya tapi bersedia untuk berbuat demikian dengan Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, Ansari berkata debat dan syarahan perlu menjadi budaya di kalangan parti-parti politik dan penduduk Sabah. Dengan menolak untuk berdebat, beliau berkata Yong nampaknya lebih suka berpatah balik kepada dunia politik di tahun 1960-an. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan