Setiap Undi Akan Direbut Di Batu Sapi: Ongkili

Diterbitkan: Khamis, 28 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SANDAKAN: Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata parti itu bersama parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain akan merebut setiap undi yang terdapat di Batu Sapi dalam pilihan raya kecil kawasan Parlimen itu pada 4 Nov ini.

"Kita akan turun berhabis-habisan untuk menarik pengundi. Satu undi bagi B Nbermakna satu lagi undi ke arah pembangunan rakyat," katanya.

Beliau berkata apabila BN dan PBS mengekalkan kerusi kawasan Batu Sapi, ia akan membolehkan rakyat terus menikmati pembangunan yang selama ini dikecapi di bawah kerajaan BN.

Pentadibran BN di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah melaksanakan pelbagai langkah untuk meningkat kualiti kehidupan dan kebajikan rakyat menerusi pelbagai perancangan seperti Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Bidang Utama Ekonomi Negara (NKEA) dan Model Baru Ekonomi (MBE).

"Sabah dan Sarawak diberi tumpuan khas dalam program-program ini yang akan menjadi kenyataan sekiranya disokong oleh rakyat. Kepimpinan BN ikhlas dalam visinya untuk negara termasuk Sabah and Sarawak yang diberi perhatian khas," katanya kepada Bernama.

Ongkili berkata kerajaan sedang bekerja keras untuk mengenal pasti apa yang perlu dilakukan bagi meningkatkan pembangunan ekonomi negara dan memastikan rakyat mendapat manfaat dari segi kebajikan sosiekonomi yang digaris di bawah NKRA.

"Inilah masanya untuk kita maju ke depan dan bukan berundur ke belakang. Justeru itu, BN dan PBS berharap pengundi di Batu Sapi memahami hakikat ini apabila mengundi kelak.

"Bagi PBS, terbukti ia mempunyai rekod yang baik sebagai rakan yang berharga kepada pakatan Barsian Nasional," katanya yang juga Pengarah PBS bagi pilihan raya tersebut.

Menurutnya: "Pembangunan di Sandakan ketika ini adalah kerana BN dan tanya pula apa yang telah dilakukan oleh pembangkang kepada Sandakan.

"SAPP (Parti Progresif Sabah) dan PKR (Parti Keadilan Rakyat) hanya mahu menang kerusi untuk kepentingan mereka. Mereka tidak boleh membantu rakyat kerana mereka tidak mempunyai sokongan daripada kerajaan negeri dan persekutuan.

"Sebaliknya PBS yang merupakan rakan dalam pakatan BN merupakan saluran yang terbaik untuk ini. Bagi kami, kami akan meneruskan perjuangan untuk rakyat di Batu Sapi."

Ongkili berkata calon BN dari PBS iaitu Datin Linda Tsen merupakan pilihan terbaik untuk pengundi tambahan pula beliau mempunyai rekod yang bersih.

"Seorang graduan UK (United Kingdom), Tsen merupakan ibu yang penyayang dan akan menambah perwakilan wanita dalam Parlimen.

"Beliau seorang wanita yang tabah yang mengambil tanggungjawab untuk meneruskan urusan kerajaan yang belum selesai di Batu Sapi yang ditinggalkan oleh mendiang suaminya.

"Beliau komited kepada Sandakan yang merupakan tempat tinggalnya, tidak seperti calon SAPP dan PKR," katanya mengenai Naib Ketia Wanita PBS itu.

Tsen akan menentang Presiden SAPP yang mewakili SAPP, Yong Teck Lee yang juga bekas Ketua Menteri Sabah dan Ketua PKR Tuaran, Ansari Abdullah dalam pilihan raya yang diadakan berikutan kematian suami Tsen selaku penyandang Wakil Rakyat Batu Sapi, Datuk Edmund Chong yang terbabit dalam kemalangan jalan raya 9 Okt lalu. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan