Perbuatan Pembangkang Burukkan Negara Jejas Pelaburan Asing - Mukhriz

Diterbitkan: Khamis, 28 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kencenderungan pemimpin pembangkang menjaja keburukan kerajaan kepada pihak luar nyata memberikan imej negatif mengenai Malaysia di mata pelabur asing, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Beliau berkata kesan daripada aktiviti itu menyebabkan pelabur asing keliru dengan situasi semasa negara sekaligus mematikan hasrat mereka untuk membuat pelaburan di negara ini.

"Sebagai contoh yang dilakukan pihak tersebut seperti mengatakan sistem kehakiman negara ini tidak adil, ataupun pihak polis kita makan rasuah, negara ini negara Taliban yang disebakan oleh isu kalimah Allah, memang ia beri kesan pada persepsi pelabur asing," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini pada Khamis ketika menjawab pertanyaan Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading) sama ada perbuatan pembangkang memburukkan imej negara telah menjejaskan kemasukan pelaburan asing ke negara ini.

Mukhriz berkata kerajaan bekerja keras dalam menarik pelabur asing supaya melabur di negara ini termasuk di negeri-negeri yang dikuasai pembangkang seperti Selangor, Kedah dan Pulau Pinang.

"Justeru, saya minta pemimpin pembangkang yang ke luar negara bersikap lebih patriotik, walaupun mereka tidak sehaluan dengan kerajaan, bagi memastikan pelabur asing terus melabur di negara ini termasuk di negeri-negeri pembangkang," katanya.

Menjawab soalan asal Datuk Rashid Din (PKR-Merbok) mengenai galakan dan tarikan kepada pelabur asing baru ke negara ini, Mukhriz berkata pelbagai insentif berbentuk fiskal dan bukan fiskal telah ditawarkan kepada pelabur asing baru ke negara ini.

Ini termasuk memberi insentif bersifat meluas iaitu produk dan aktiviti dikecualikan daripada cukai pendapatan dan elaun cukai pelaburan di bawah Akta Penggalakan Pelaburan 1986 dan Akta Cukai Pendapatan 1967.

Syarikat perkilangan dan penyedia perkhidmatan terpilih juga dikecualikan daripada duti import dan cukai jualan bagi bahan mentah, komponen dan mesin serta peralatan, katanya.

Pelabur asing juga menikmati pengurangan pada kadar kos dalam menjalankan perniagaan menerusi insentif yang diberikan oleh Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah).

"Mereka juga dibolehkan menubuhkan syarikat dalam masa dua hari," katanya.

Bagi menjadikan negara ini lebih berdaya saing berbanding negara jiran, Malaysia turut menyediakan galakan kepada syarikat-syarikat yang berminat untuk melabur dalam sektor yang berintensifkan modal, pengetahuan dan bernilai tambah tinggi, dan antara keistimewaan itu adalah dikecualikan daripada cukai, geran latihan dan geran untuk pembangunan dan penyelidikan, kata Mukhriz.

Katanya walaupun negara lain menyediakan insentif menarik bagi pelabur asing, Malaysia kekal sebagai destinasi menarik dan kompetitif bagi aliran masuk pelaburan terutama dalam sektor perkilangan dan sektor perkhidmatan berkaitan perkilangan.

Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2010, sebanyak 619 projek perkilangan telah diluluskan dengan nilai pelaburan RM19 bilion, dan daripada jumlah itu, RM11.5 bilion atau 60.5 peratus merupakan pelaburan asing dan RM7.5 bilion adalah pelaburan tempatan, katanya.

Menurut perangkaan Jabatan Statistik Malaysia, kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) ke negara ini meningkat tahun ini berdasarkan imbangan pembayaran bagi setengah tahun pertama yang bernilai US$3.4 bilion berbanding US$1.38 bilion pada keseluruhan tahun 2009.

"Peningkatan ini disokong oleh langkah proaktif yang dibuat kerajaan bagi merancakkan semula kemasukan FDI termasuk memperkenalkan Program Transformasi Kerajaan, Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10) dan Program Transformasi Ekonomi.

"Selain itu, satu Jawatankuasa Pelaburan Program Transformasi Ekonomi juga diwujudkan di peringkat kementerian dengan kerjasama Unit Pengurusan Prestasi Pelaksanaan (Pemandu) bagi memastikan sasaran pelaburan yang ditetapkan sebanyak purata RM115 bilion setahun di bawah RMK-10 tercapai," kata Mukhriz. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan