Harga Barang Keperluan Di Batu Sapi Diseragamkan

Diterbitkan: Khamis, 28 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SANDAKAN: Harga barang keperluan, gas petroleum cecair (LPG), petrol dan diesel yang dijual di pulau-pulau sekitar Batu Sapi diseragamkan bermula Khamis.

Langkah itu untuk membolehkan pengguna membeli barangan berkenaan dengan harga yang sama seperti di bandar berbanding sebelum ini apabila terdapat perbezaan harga antara RM1 dan RM8.

Program penyeragaman harga itu dilancarkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Kampung Segaliud kira-kira 70 kilometer dari sini pada Khamis.

Berucap pada majlis itu, Ismail Sabri berkata program itu membolehkan penduduk yang tinggal di pulau-pulau sekitar Batu Sapi khususnya di Dewan Undangan Negeri kawasan Sekong menikmati penjimatan dalam perbelanjaan harian.

Katanya barangan yang terlibat adalah minyak petrol, diesel, LPG, barang subsidi seperti gula, tepung gandum, minyak masak dan beras ST 15 peratus.

Beliau berkata sebagai contoh, sebelum ini penduduk di pulau membeli petrol dengan harga RM2.60 hingga RM4 berbanding harga subsidi RM1.85 seliter dan LPG setong RM30 hingga RM38 seberat 14kg berbanding harga RM25.90 di kawasan Bandar Sandakan.

Katanya program penyeragaman harga itu sudah pun dilaksanakan di 135 kawasan di Sabah yang membabitkan peruntukan sebanyak RM29 juta pada tahun ini.

Katanya dalam Bajet 2011, kerajaan memperuntukkan RM200 juta untuk program penyeragaman harga dengan RM80 juta diperuntukkan kepada Sabah.

"Ini merupakan bukti bahawa kerajaan Barisan Nasional tidak pernah lupa untuk membantu penduduk di luar bandar," kata Ismail Sabri. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan