Polis Minta Parti Bertanding Mohon Permit

Diterbitkan: Rabu, 27 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Parti-parti politik yang bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, Kelantan dan Parlimen Batu Sapi, Sabah diminta memohon permit untuk menjalankan ceramah sepanjang tempoh berkempen.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Datuk Khalid Abu Bakar berkata setakat ini pihaknya telah menerima dan meluluskan tiga permit berceramah di Galas manakala di Bukit Sapi, satu permit diluluskan.

"Tempoh berkempen tamat pada malam 3 Nov, kita minta parti yang bertanding mohon permit untuk jalankan ceramah manakala yang tidak bertanding, jangan guna dan menggantung lambang mereka di mana-mana," katanya kepada pemberita di Bukit Aman di sini pada Rabu.

Katanya polis akan mengeluarkan permit untuk berceramah dengan kadar segera jika dipohon.

Pilihan raya kecil di kedua-dua kawasan itu diadakan berikutan kematian wakil rakyat Galas, Chek Hashim Sulaima, 46, daripada PAS kerana barah usus pada 27 Sept lepas sementara bagi Batu Sapi, ia diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Edmund Chong Ket Wah, 54, daripada Barisan Nasional (BN) akibat kemalangan jalan raya pada 9 Okt lepas.

Pilihan raya kecil Batu Sapi akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara BN, Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) manakala di Galas, BN akan berdepan dengan PAS. Kedua-dua pilihan raya kecil itu akan diadakan pada 4 Nov.

Khalid berkata bagi memastikan kempen pilihan raya berjalan lancar parti-parti bertanding dinasihatkan meneruskan budaya baik yang ditunjukkan semasa penamaan calon kerana sepanjang proses itu tiada sebarang insiden buruk berlaku.

Katanya pihak polis berpuas hati dengan kerjasama penyokong dan parti yang bertanding dalam kempen pilihan raya kecil di kedua-dua kawasan apabila semua pihak mematuhi arahan polis dan memberikan kerjasama yang baik.

Ketika ditanya berapa jumlah anggota polis ditempatkan di kedua-dua lokasi, beliau berkata jumlah anggota adalah mencukupi untuk menjaga keselamatan di kedua-dua tempat.

Katanya tiga pasukan pemantau telah ditubuhkan di Galas dan Batu Sapi di mana mereka telah menjalankan tugas bermula tengahari Selasa. - BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan