Perkenal Kurikulum Selaras Dengan Model Baru Ekonomi

Diterbitkan: Rabu, 27 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pembekal pelajaran di negara ini diminta supaya membuat perubahan yang sesuai kepada kandungan kurikulum dan mod penyampaian mereka bagi melahirkan graduan yang boleh merangsang ekonomi negara selari dengan Model Baru Ekonomi (MBE) yang berpacukan inovasi.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ini bermakna institusi pengajian tinggi diharap memberi pelajaran ke arah pembangunan nasional yang mapan dan setanding dengan yang terbaik di dunia.

"Ini akan mendedahkan graduan kita kepada semua aspek kesedaran awam dan dilatih serta dipandu menerusi sesi pendidikan, latihan dan kajian yang mencetus atau meningkatkan kefahaman mereka yang mempunyai hubung kait dengan pembangunan mapan," katanya dalam teks yang disampaikan pada majlis syarahan ulang tahun ke-60 Kolej Stamford di sini pada Rabu.

Ucapannya disampaikan oleh Penasihat Khas kepada Menteri Pengajian Tinggi, Prof Dr Zakaria Abas.

Mohamed Khaled berkata ia juga penting institusi pengajian tinggi tempatan dibangunkan sebagai institusi yang diterima di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata ini selaras dengan keadaan di mana semakin ramai pelajar antarabangsa melanjutkan pelajaran tinggi di Malaysia.

Kini terdapat 20 buah universiti awam, 46 universiti dan kolej universiti swasta, 27 politeknik, 42 kolej komuniti dan 486 kolej swasta di negara ini. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan