India Jemput Syarikat Malaysia Ambil Bahagian Projek Infra

Diterbitkan: Rabu, 27 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: India yang merancang meningkatkan sasaran pelaburannya dalam projek-projek infrastruktur kepada US$1 trilion, mahukan penyertaan yang lebih besar oleh Malaysia berdasarkan kekuatan negara ini dalam sektor terbabit, kata Perdana Menteri India Dr Manmohan Singh hari ini.

Dalam Rancangan Lima Tahun ke-11 yang berakhir pada 2011, India menyasarkan untuk melabur sejumlah US$500 bilion dalam infrastruktur dan berharap angka itu meningkat kepada US$1 trilion dalam Rancangan Pembangunan ke-12nya.

Infrastruktur yang tidak mencukupi merupakan kekangan utama prestasi India, dan negara berkenaan berazam untuk mengatasinya, katanya pada Ceramah Global Khazanah, di sini hari ini.

Turut hadir ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Malaysia sudah terkenal kerana kekuatannya dalam pembangunan infrastruktur dan kami mahukan penyertaan yang lebih besar oleh Malaysia dalam sektor ini," kata Manmohan.

Perdana Menteri itu yang kini dalam rangka lawatan rasmi, berkata India turut mempunyai perancangan besar untuk menubuhkan dana pelaburan khusus yang boleh digunakan untuk membiayai projek infrastruktur yang mengambil masa yang lebih lama untuk memperoleh keuntungan.

"Kami berharap menarik pembiayaan dari India dan antarabangsa untuk projek-projek terbabit," katanya.

India, menurut Manmohan, tidak berhasrat untuk mengikut langkah negara berindustri tinggi tetapi menjalankan proses pembangunan mampan.

"Kami mahukan model pembangunan mampan yang sesuai untuk keperluan kami, mengikut keadaan serta pintar. Ia bukan tugas yang mudah untuk ekonomi membangun. Kami mahu mewujudkan kesimbangan antara keperluan kami hari ini dan untuk generasi yang akan datang," katanya.

India merangka Pelan Tindakan Nasional mengenai Perubahan Iklim yang berkait rapat dengan jaminan tenaga.

Untuk tujuan ini, ia melancarkan misi solar negara yang menyasarkan untuk membangunkan loji tenaga solar berkapasiti 20,000 megawatt menjelang 2022.

Negara itu juga mempunyai misi nasional mengenai projek air dan hijau, kecekapan tenaga dan mengekalkan ekosistem Himalayanya.

"Saya yakin, mana-mana negara pun perlu membuka opsyen untuk pembangunannya," kata Manmohan.

"Itu sebab mengapa kami bekerja keras dalam inisiatif nuklear awam yang membuka pintu untuk India membangunkan opsyen tenaga nuklear bersih sebagai sebahagian oenting untuk jaminan tenaga," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan