Hanya Dua Daripada 19 SJK (C) Siap & Beroperasi - Mohd Puad

Diterbitkan: Rabu, 27 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Hanya dua Sekolah Jenis Kebangsaan Cina atau SJK (C) yang sudah siap dan mula beroperasi pada tahun ini, kata Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.

Beliau berkata, proses perpindahan dua sekolah itu adalah SJK (C) Tai Hong dari Kota Tinggi ke Taman Impian Emas, Johor Bahru dan SJK (C) Pai Tze dari Bukit Serampang ke Setia Eco Gardens, Johor Bahru.

"Tujuh sekolah SJK (C) lagi masih dalam proses pembinaan dan sebuah sekolah baru selesai masalah tapak.

"Selebihnya, ia masih dalam proses membuat perolehan tanah, penyediaan pelan pembangunan atau mengemukakan permohonan kebenaran merancang untuk kelulusan pihak berkuasa tempatan," katanya di Dewan Rakyat di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Nga Kor Ming (DAP-Taiping) yang meminta menyatakan secara terperinci status terkini pembinaan 19 SJK (C) yang diumumkan serta dijanjikan oleh Kerajaan pada 31 Januari 2008.

Jawapan Mohd Puad itu menyebabkan Kor Ming meluahkan rasa kesal apabila menyifatkan Kerajaan gagal menyiapkan 17 sekolah SJK (C) seperti mana dalam manifesto pilihan raya lalu.

“Setakat ini, hanya dua sekolah yang berjaya disiapkan manakala 17 sekolah lagi masih belum beroperasi. Tempoh tiga tahun bagi membina dua sekolah tidak selari dengan cogan kata kerajaan iaitu pencapaian diutamakan, rakyat didahulukan.

"Sehubungan itu, bilangan SJK perlu ditambah memandangkan lebih ramai murid bukan sahaja masyarakat Cina bahkan murid Melayu dan India turut bersekolah di SJK (C)," katanya.

Dalam pada itu, Kor Ming menggesa Kementerian Pelajaran agar memansuhkan tiga surat pekeliling dan garis panduan yang didakwa mengamalkan diskriminasi terhadap Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) di negara ini.

Beliau berkata, garis panduan dan surat pekeliling tersebut menyusahkan serta membebankan meskipun undang-undang menetapkan semua aliran adalah sekolah kerajaan.

Menurutnya, antara kandungan surat pekeliling tersebut menyatakan tapak sekolah rezab milik kerajaan dibina sekolah kebangsaan sahaja kecuali mendapat pengecualian daripada menteri menyebabkan tindakan kerajaan itu dipersoalkan.

“Mengapa tapak sekolah rezab kerajaan tidak boleh dibina semua sekolah tanpa mengira SJKC atau SJK Tamil (T) dan perkara ini tidak adil adil sama sekali,” katanya.

Kor Ming berkata, dua lagi garis panduan dan surat pekeliling yang ditetapkan kementerian juga tidak munasabah, antaranya terpaksa mengumpulkan sendiri dana sebanyak 80 peratus bagi SJK untuk membina bangunan baru.

“Semua lembaga pengelola SJK (C) dan SJK (T) yang ingin membina sekolah baru berikutan kesesakan bilik darjah perlu mengumpul sendiri dana 80 peratus baru boleh mengemukakan permohonan,” katanya.

Menurut beliau, masyarakat Cina di negara ini perlu menangung perbelanjaan RM100 juta setahun sebagai sumbangan peribadi kepada sekolah jenis kebangsaan dan keadaan itu sudah lama wujud lebih 50 tahun lalu.

Katanya lagi, garis panduan ketiga disifatkan tidak masuk akal apabila murid yang belajar di sekolah kebangsaan tidak dibenarkan bertukar ke SJK.

“Saya menerima pelbagai rayuan daripada ibu bapa tetapi masih tidak dibenarkan pertukaran biarpun rayuan demi rayuan dikemukakan.

“Alasan Kementerian Pelajaran bahawa prestasi sekolah kebangsaan diukur berdasarkan berapa ramai murid bukan Melayu belajar di sekolah kebangsaan tidak masuk akal,” katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan