BN Pilihan Terbaik Untuk Rakyat Batu Sapi - Kurup

Diterbitkan: Rabu, 27 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SANDAKAN: Barisan Nasional (BN) merupakan pilihan terbaik bagi rakyat di Batu Sapi, kata Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Tan Sri Joseph Kurup.

Oleh itu, beliau berkata rakyat Batu Sapi seharusnya memberi keyakinan dan kepercayaan semula kepada BN pada pilihan raya kecil 4 November ini bagi meneruskan agenda pembangunan yang sudah dirancang di kawasan itu.

"Ahli Parlimen BN (mendiang Datuk Edmund Chung Ket Wah) merupakan pemimpin yang banyak berjasa kepada rakyat di kawasan ini dan berjaya membawa banyak pembangunan untuk faedah rakyat di Batu Sapi.

"Saya harap rakyat di sini akan memberi sokongan yang berterusan sekaligus, memastikan BN menang besar di Batu Sapi," katanya kepada Bernama, di sini.

Kurup berkata kerajaan BN juga telah melaksanakan kerja dengan baik sehingga berjaya merubah lanskap pembangunan negara.

"Negara kita kini dikenali di serata dunia disebabkan oleh usaha bersungguh-sungguh kerajaan BN.

"Pendekatan pentadbiran yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak termasuk Konsep 1Malaysia, transformasi dan NKRA menunjukkan kerajaan sedia ada, serius untuk membawa negara ini ke era kecemerlangan.

"Bagi menikmati hasil ini rakyat di Batu Sapi juga perlu memberi sokongan padu kepada BN agar mereka tidak ketinggalan," katanya.

Kurup berkata rakyat perlu sedar bahawa parti pembangkang hanya pandai menabur janji tetapi tidak berkemampuan untuk menunaikannya kerana mereka bukan kerajaan.

"Kita berharap rakyat Batu Sapi tidak mudah terpengaruh dengan dakyah pembangkang yang cuba mengelirukan pemikiran mereka, semata-mata mahu meraih sokongan," katanya.

Pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Batu Sapi akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Barisan Nasional (BN), parti pembangkang Sabah Parti Maju Sabah (SAPP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Calon BN, Datin Linda Tsen Thau Lin daripada Parti Bersatu Sabah (PBS) akan berhadapan dengan Presiden SAPP Datuk Yong Teck Lee, yang juga bekas ketua menteri Sabah dan PKR diwakili peguam terkenal Ansari Abdullah, yang juga Ketua PKR Tuaran.

Kerusi Batu Sapi kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Edmund Chong Ket Wah, 54, dari BN dalam kemalangan jalan raya pada 9 Oktober lepas.

Pada pilihan raya umum 2008, Chong mendapat 9,479 undi menewaskan calon Bebas Dr Chung Kong Wing dengan majoriti 3,708 undi. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan