Tugas JPJ Tidak Berkurang Setelah SPAD Mula Beroperasi

Diterbitkan: Selasa, 26 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tugas dan tanggungjawab Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak akan berkurangan sekiranya Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) beroperasi sepenuhnya kelak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohammed Nazri Abd Aziz berkata hanya beberapa aspek penting daripada jabatan itu yang akan dipindahkan ke SPAD manakala aspek berkaitan jalan raya masih tertakluk di bawah JPJ.

"SPAD ditubuh bagi memudahkan tindakan integrasi terhadap sistem pengangkutan awam dilaksanakan, manakala sistem pengangkutan lain tetap tertakluk di bawah Kementerian Pengangkutan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Loke Siew Fook (DAP-Rasa) yang ingin tahu sama ada bidang kuasa JPJ akan berkurang setelah SPAD beroperasi sepenuhnya kelak.

Terdahulu menjawab soalan Loke mengenai status terkini pelaksanaan Suruhanjaya itu dan jumlah elaun yang akan dinikmati pengerusi serta anggota Suruhanjaya, Mohammed Nazri berkata SPAD walaupun belum beroperasi sepenuhnya, telah melaksanakan kajian teknikal terhadap cadangan projek transit aliran berkapasiti tinggi (MRT) dengan sebuah syarikat konsultan.

"SPAD bersama Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri juga akan memulakan kajian feasibiliti keretapi laju antara Kuala Lumpur dan Johor Bahru," katanya.

Sementara itu, menjawab pertanyaan Abdul Aziz Abdul Kadir (PAS-Ketereh) mengenai pendaftaran pengundian secara automatik bagi pengundi 21 tahun, Mohamed Nazri berkata setakat ini kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakannya.

Ini kerana katanya, jika ia dilaksanakan, implikasi besar akan berlaku kepada mereka yang terlibat ekoran mobiliti penduduk yang tinggi akibat berpindah alamat kediaman dan pertukaran tempat kerja.

"Mereka yang tidak membuat pertukaran alamat pada kad pengenalan akan menyebabkan bilangan mereka yang akan didaftarkan di luar kawasan tempat bermastautin adalah tinggi," katanya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan