Peguambela Tidak Sihat, Perbicaraan Kes Liwat Anwar Ditangguhkan

Diterbitkan: Selasa, 26 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan bekas pembantu peribadinya ditangguh sehingga esok kerana peguambela utama, Karpal Singh tidak sihat.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah membenarkan permohonan yang dibuat oleh seorang daripada peguambela yang mewakili Anwar, Ram Karpal untuk menangguh perbicaraan kes itu sementara menunggu keputusan ujian darah Karpal.

Ram memberitahu mahkamah bahawa Karpal masih tidak sihat apabila beliau menemui bapanya itu pagi ini.

Peguam Cara Negara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden yang mengetuai pasukan pendakwaan tidak membantah penangguhan itu memandangkan mereka telah mengetahui bahawa Karpal tidak sihat sejak semalam.

Beliau meminta pasukan pembelaan untuk membuat persediaan yang perlu bagi meneruskan pemeriksaan balas terhadap Pakar Bedah Umum Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Mohd Razali Ibrahim, yang disoal Karpal semalam.

Hakim Mohamad Zabidin memaklumkan pasukan pembelaan bahawa peguambela lain dari pasukan itu perlu mengambilalih pemeriksaan balas itu, jika Karpal masih tidak dapat hadir esok.

Hari ini, Karpal dijadual meneruskan pemeriksaan balas terhadap Dr Mohd Razali. Anwar, 63, yang merupakan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dibicarakan atas tuduhan meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan, bekas pembantu peribadinya yang berusia 25 tahun, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No.99 Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di sini di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Semalam, Dr Mohd Razali dalam keterangannya mendedahkan tentang kewujudan laporan perubatan pertama berkaitan sejarah dan pemeriksaan pengadu dalam kes itu, Mohd Saiful.

Hari ini, beliau dijangka menyerahkan laporan yang disediakan olehnya dan dua lagi pakar HKL selepas mereka memeriksa Mohd Saiful selama tiga jam pada malam 28 Jun, 2008, yang disimpan di HKL dan tidak diserah kepada mahkamah sebagai bahan bukti.

Laporan itu dibuat sebelum laporan penuh yang bertarikh 13 Julai. Laporan bertarikh 13 Julai itu diserah kepada mahkamah sebagai bahan bukti.

Di luar mahkamah, seorang daripada peguambela Anwar, S.N.Nair memberitahu pemberita bahawa Karpal disyaki demam denggi.

Beliau berkata keputusan ujian darah Karpal dijangka diperoleh selepas tengah hari ini. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan