N45 Galas: Tiada Kelibat Ku Li Jadi Tanda Tanya

Diterbitkan: Selasa, 26 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GUA MUSANG: Kelibat Pengarah Pilihanraya Kecil Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, Tengku Razaleigh Hamzah yang tidak kelihatan di Pusat Penamaan calon di Bilik Gerakan Pejabat Tanah dan Jajahan Gua Musang pada proses penamaan calon yang berlangsung hari ini menimbil tanda tanya.

Bagaimanapun difahamkan Tengku Razaleigh yang mesra dengan panggilan Ku Li berada bersama-sama penyokong BN di luar pusat penamaan calon.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed berkata, Tengku Razaleigh hadir dan bersama-sama calon pada sebelah pagi namun kini berkumpul bersama penyokong dan pengundi di luar pusat berkenaan.

"Ku Li ada, beliau hadir... tapi tak naik atas. Beliau luangkan masa bersama-sama pengundi dan penyokong di bawah," katanya.

Sementara itu calon BN, Ab Aziz Yusoff ketika diminta mengulas mengenai ketiadaan Tengku Razaleigh bagi memberi sokongan moral kepadanya, beliau berkata Ketua Umno Bahagian Gua Musang itu mahu menghabiskan masanya bersama pengundi di luar pusat penamaan calon.

Ditanya sama ada Tengku Razaleigh berkecil hati atau merajuk dengan beberapa perkara, Ab Aziz berkata: "Beliau nak jalan jauh, tak larat... bukan merajuk apa."

Pilihan raya kecil DUN Galas yang akan diadakan pada 4 November depan menyaksikan saingan dua penjuru antara Ab Aziz daripada BN yang akan menentang calon PAS, Dr Zulkefli Mohamed.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan