Jemaah Haji Wajib Jaga Kesihatan

Diterbitkan: Selasa, 26 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MEKAH: Jemaah haji Malaysia diingatkan supaya menjaga kesihatan dan kebersihan semasa mengerjakan rukun Islam kelima itu selain melaksanakannya mengikut tertib bagi mendapat haji mabrur.

Ketika memberi peringatan itu, Drs Sapawi Che Mat, guru agama Lembaga Tabung Haji (TH) meminta mereka tidak terlalu ghairah hendak menunaikan solat di Masjidil Haram sehingga mengabaikan kesihatan berikutan cuaca panas.

"Kita tidak melarang tetapi wajib bagi setiap jemaah mengutamakan kesihatan kerana tidak mahu amalan mereka terjejas menjelang wukuf 15 November ini.

"Mereka boleh menunaikan solat di Masjidil Haram pada waktu malam dan subuh manakala waktu siang di tempat penginapan," kata Sapawi ketika diminta mengulas sikap segelintir jemaah haji yang tidak menghiraukan kesihatan mereka.

Tinjauan pasukan media TH yang membuat liputan Musim Haji 1431 Hijrah selama beberapa hari mendapati jemaah-jemaah haji Malaysia tidak kira di mana mereka ditempatkan tidak melepaskan peluang bersolat setiap hari di Masjidil Haram.

Jemaah haji Malaysia ditempatkan di beberapa hotel sekitar Mekah yang berkedudukan antara 750 dan 850 meter dari Masjidil Haram.

Sapawi berkata pengalamannya pada musim-musim haji lepas mendapati ramai jemaah haji, terutama golongan tua dan uzur, jatuh sakit menjelang wukuf kerana tidak menjaga kesihatan.

"Ketika wukuf dan melontar jamrah, keadaan sangat mencabar. Jutaan manusia terbabit dengan ibadah itu. Jika tidak sihat dan sabar melakukan setiap amalan mengikut tertibnya, haji kita mungkin tidak sempurna," kata Sapawi.

Pakar Perunding Kanan Respiratori yang bertugas di hospital TH Aziziah Prof Bersekutu Datuk Dr Abdul Razak Muttalif juga tidak menggalakkan jemaah haji mendedahkan diri dalam cuaca terlampau panas mencecah lebih 41 darjah Celsius.

Katanya cuaca paras itu sejak minggu ini boleh menyebabkan jemaah yang kerap mendedahkan diri mudah mendapat 'heat stroke' dan mengakibatkan komplikasi lebih teruk seperti serangan jantung serta angin ahmar dan menyebabkan kematian.

Bagaimanapun beberapa jemaah yang ditemui mengakui amat penting untuk menjaga kesihatan menjelang wukuf 15 November tetapi perkara itu tidak menghalang mereka daripada menunaikan solat di Masjidil Haram.

Seorang jemaah Malaysia, Zaharuddin Ghani, 68, dari Perak berkata dia sebolehnya akan menunaikan solat di Masjidil Haram kerana inilah peluangnya untuk memperoleh ganjaran besar yang dijanjikan Allah SWT.

Bagi Said Dasuki, 65, dari Batu Pahat, Johor, sejak seminggu berada di Mekah beliau tidak melepaskan peluang ke Masjidil Haram untuk beribadah sama ada berjalan kaki atau menaiki teksi.

Lebih separuh daripada 26,000 jemaah haji Malaysia yang menunaikan fardu haji musim ini telah berada di Kota Mekah dan lebih 6,000 orang tinggal di hotel Al Janadriyah yang juga menempatkan ibu pejabat TH Mekah, kira-kira 800 meter dari Masjidil Haram. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan