Tindakan Tegas Terhadap Pihak Yang Timbulkan Isu Agama Dan Kaum - Hishammuddin - Berita Semasa | mStar

Tindakan Tegas Terhadap Pihak Yang Timbulkan Isu Agama Dan Kaum - Hishammuddin

Diterbitkan: Isnin, 25 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SANDAKAN: Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak atau parti politik yang mencetuskan isu kaum dan agama semasa kempen pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein.

Katanya pihak polis tidak akan berkompromi terhadap mereka yang menimbulkan isu-isu tersebut yang boleh mencetuskan suasana tegang dan menggugat ketenteraman awam.

"Ia merupakan antara perkara diberi perhatian oleh polis terutama dalam tempoh lapan hari berkempen," katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat penugasan pasukan polis untuk pilihan raya kecil Batu Sapi di Ibu Pejabat Polis Daerah Sandakan di sini, pada Isnin.

Taklimat disampaikan oleh Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Rosli Mohd Isa.

Hishammuddin berkata polis akan memantau semua aktiviti yang dianjurkan oleh mana-mana parti sepanjang kempen pilihan raya kecil ini bagi memastikan mereka mengikut peraturan yang ditetapkan.

Katanya polis memerlukan kerjasama semua parti yang bertanding bagi memastikan pilihan raya kecil itu berjalan lancar dalam suasana aman.

Hari penamanan calon akan diadakan esok dan hari pengundian pada 4 Nov ini. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan