Suhakam Lancar Kaunter Bergerak Pantau Pilihan Raya Kecil DUN Galas

Diterbitkan: Isnin, 25 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) akan memantau perjalanan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Galas di Kelantan dengan melancarkan kaunter aduan bergerak.

Pesuruhjaya Suhakam Muhammad Sha'ani Abdullah berkata kaunter itu mula beroperasi hari ini di perkarangan Pejabat Tanah Gua Musang dan akan memantau badan-badan berkuasa, media serta parti politik terlibat.

Beliau berkata objektif utama kaunter itu ialah untuk memberi pendedahan mengenai hak asasi manusia dan memastikan proses pilihan raya kali ini menghormati hak pengundian sejagat.

"Ini terutamanya dalam kebebasan bersuara, berhimpun, berpersatuan dan akses kepada maklumat dan hak kepada keselamatan berkaitan pilihan raya," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Pilihan raya kecil itu yang diadakan pada 4 Nov ini menyaksikan pertandingan antara calon Barisan Nasional (BN), Abdul Aziz Yusoff, 49, dan calon PAS, Dr Zulkefli Mohamad, 44.

Kerusi DUN Galas kosong selepas kematian penyandangnya, Chek Hashim Sulaima, 48, daripada PAS akibat barah usus, 27 Sept lepas. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan