Mahathir Cadang Kerajaan Sediakan Imbuhan Untuk Syarikat Tempatan Dalam ETP

Diterbitkan: Isnin, 25 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan kerajaan menyediakan imbuhan dan insentif untuk syarikat-syarikat tempatan yang telah komited kepada Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Beliau berkata memandangkan negara kini bergerak ke arah mengurangkan kebergantungan terhadap pelaburan asing langsung (FDI) kepada pelaburan asing domestik, sudah tiba masanya untuk kerajaan menawarkan imbuhan dan insentif yang sama yang ditawarkan kepada pelabur asing.

"Saya rasa memandangkan pelabur asing telahpun diberikan pelepasan cukai dan banyak lagi insentif lain, mengapa tidak membantu syarikat tempatan dengan memberi mereka insentif untuk menggalakkan lebih banyak pelabur tempatan melabur di dalam negara?", kata beliau kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara Perwaja Steel Sdn Bhd dan Sinosteel Equipment & Engineering Co Ltd di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pandangan beliau berhubung pelancaran hala tuju ETP dan harapanya terhadap program itu.

"Saya rasa ia amat positif untuk mentransfomasikan ekonomi. Pada asasnya, kita tidak lagi tertarik di mata pelabur asing, jadi kita perlu mencari jalan untuk mengembangkan ekonomi kita dan saya boleh lihat yang kerajaan telah banyak melakukan kerja-kerja penyelidikan untuk mendapatkan pelabur," kata Dr Mahathir yang terdahulu mendahului taklimat ETP.

"Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, mereka telah memeterai 12 projek besar dan saya amat gembira dengan pencapaian itu," kata beliau.

Beliau menambah yang syarikat-syarikat tempatan telah melabur di seberang laut kerana mereka kekurangan peluang untuk melabur di sini dan dengan hala tuju ETP ini, jelas sekali kerajaan berminat untuk menggalakkan pelaburan tempatan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan