DPMM, Mapem Sokong Komitmen PM Dalam Agenda Pembangunan Ekonomi Melayu

Diterbitkan: Isnin, 25 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Dewan Perniagaan Malaysia Negeri Selangor (DPMMS) dan Majlis Perundingan Ekonomi Malaysia (Mapem) telah melahirkan sokongan terhadap komitmen Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap agenda pembangunan ekonomi Melayu.

"Komitmen Datuk Seri Najib untuk meneruskan Dasar Ekonomi Baru dalam konteks yang lebih releven kepada Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Model Baru Ekonomi jelas menzahirkan bahawa beliau sentiasa peka kepada dasar pembangunan ekonomi orang Melayu," kata Yang Dipertua DPMMS dan Pengasas Mapem, Tan Sri Rozali Ismail dalam satu kenyataan akhbar pada Isnin.

Komitmen ini dapat menyangkal dakwaan bahawa Perdana Menteri telah mengabaikan kepentingan orang Melayu dalam gagasan 1Malaysia.

Sokongan turut diberikan di atas penubuhan Majlis Tertinggi Agenda Bumiputera (MTAB) yang dipengerusikan sendiri Perdana Menteri dan dianggotai oleh menteri-menteri kanan. MTAB merupakan entiti tertinggi berfungsi untuk merancang, melaksana dan memantau dasar-dasar dan program-program pembangunan ekonomi khusus untuk orang Melayu dan Bumiputera.

DPMMS dan MAPEM percaya melalui komitmen ini, kerajaan dapat memastikan bahawa segala dasar dan perancangan pembangunan ekonomi orang Melayu dan Bumiputera akan dapat dipastikan kecekapan dan keberkesanan sistem penyampaiannya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan